DAP lancar tabung kebakaran paip gas atas permintaan orang ramai

DAP lancar tabung kebakaran paip gas atas permintaan orang ramai

DAP sifatkan tindakan pihak tertentu mengecam usaha membantu mangsa sebagai tidak berakal.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook ditemui dalam majlis bantuan sumbangan oleh Berjaya Corporation Bhd dan penyerahan 50 kereta oleh Carsome kepada mangsa kebakaran Putra Heights.
SUBANG JAYA:
DAP mewujudkan tabung bantuan kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights atas permintaan orang ramai.

Setiausaha Agung, Loke Siew Fook, berkata ia juga bagi memudahkan sumbangan dikumpulkan sebelum penyaluran dilakukan.

Katanya, tindakan pihak tertentu mengecam usaha membantu mangsa kebakaran itu disifatkan tidak berakal.

“Ini bencana, orang nak bantu pun dia nak kecam. Lebih baik dia cuba fikir bagaimana nak bantu mangsa. Kerajaan ada tanggungjawab untuk bantu, begitu juga syarikat swasta ada tanggungjawab untuk bantu.

“Ramai penyokong (DAP) tanya macam mana nak bantu. Jadi kita buka tabung itu sebab ada permintaan orang ramai yang bertanya macam mana nak salurkan sumbangan,” katanya mengulas kecaman terhadap DAP di media sosial selepas parti itu melancarkan tabung kutipan derma untuk mangsa kebakaran Putra Heights.

Beliau ditemui selepas majlis bantuan sumbangan oleh Berjaya Corporation Bhd (BCorp) dan penyerahan 50 kereta oleh Carsome kepada mangsa kebakaran Putra Heights.

Hadir sama Pengasas BCorp Vincent Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Eric Cheng, Pengarah Urusan Carsome Malaysia Chris Ang, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Carsome Aaron Kee dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.

Sementara itu, Loke yang juga menteri pengangkutan berkata, ada penyumbang perseorangan yang banyak menyampaikan hasrat memberi sumbangan kepada mangsa.

“Syarikat besar yang mampu mereka terus bagi kepada mangsa, tetapi ada orang perseorangan yang nak bantu dalam jumlah lebih kecil bagaimana nak bantu…itu sebab mereka minta kita buka tabung dan kita memudahkan orang ramai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.