Piala Dunia Terjun: Pandelela terlepas slot final

Piala Dunia Terjun: Pandelela terlepas slot final

Ratu terjun negara itu menduduki tempat ke-13 pada pusingan kelayakan, dan hanya 12 penerjun teratas layak ke peringkat akhir.

Pandelela Rinong menduduki tempat ke-13 pada pusingan kelayakan Piala Dunia Terjun 2025 di Guadalajara, Mexico, menyebabkan beliau terlepas slot ke final. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Ratu terjun negara Pandelela Rinong terlepas slot final 10m platform individu wanita selepas menamatkan saingan di tempat ke-13 pusingan kelayakan Piala Dunia Terjun 2025 di Guadalajara, Mexico semalam.

Pandelela, yang membuat penampilan pertamanya selepas kali terakhir beraksi di pentas kompetitif Terbuka Malaysia pada November tahun lepas, mengumpul 267.85 mata untuk menduduki tempat ke-13, ketinggalan 7.30 mata di belakang penerjun Sepanyol Valeria Antolino di tempat ke-12 dengan 275.15 mata.

Hanya 12 penerjun layak ke peringkat akhir.

Penerjun China Quan Hongchan dan Chen Yuxi mendominasi dua kedudukan teratas dengan masing-masing mengumpul 390.40 dan 373.65 mata.

Sementara itu, penerjun lelaki negara Enrique Harold akan turun beraksi pada pusingan kelayakan 10m platform lelaki individu pada Sabtu.

Piala Dunia Terjun 2025 seterusnya akan berlangsung di Windsor, Kanada pada 10 hingga 13 April, diikuti Beijing, China pada 2 hingga 4 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.