
Tertuduh, Jasri Ismail, 36, yang bekerja sebagai buruh, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean, lapor Berita Harian.
Berdasarkah kertas pertuduhan, dia didakwa menculik seorang kanak-kanak lelaki dari bawah penjagaan bapanya berusia 42 tahun di tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena, Kepala Batas pada kira-kira 8.20 malam, 30 Mac lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.
Di mahkamah sama juga, dia turut mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kereta jenis Honda BRV milik bapa kanak-kanak lelaki itu di lokasi dan waktu sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga tujuh tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Fazliyana Ahmad mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Anas Hakimi Mat@Ahmad.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 30 April ini bagi fakta kes serta menjatuhkan hukuman.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan selepas melarikan sebuah kereta bersama kanak-kanak lelaki istimewa dari tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena.
Dia ditahan bersama mangsa dan kenderaan berkenaan di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Perak.
Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki serta lima kes jenayah lain.