2 daripada 3 kertas siasatan kes peniaga belon diserah TPR

2 daripada 3 kertas siasatan kes peniaga belon diserah TPR

Polis berkata siasatan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah masih menunggu maklum balas SKMM.

dbkl pukul
Tangkap layar video menunjukkan pergelutan seorang peniaga belon dan pegawai penguat kuasa DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman hujung minggu lalu.
KUALA LUMPUR:
Dua daripada tiga kertas siasatan dibuka susulan insiden seorang peniaga belon dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kertas siasatan yang diserahkan kepada timbalan pendakwa raya (TPR) itu di bawah Seksyen 186 dan 325 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta sengaja menyebabkan kecederaan parah.

“Siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah masih menunggu maklum balas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berkaitan sebuah laman web dikaitkan dengan kes ini,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Beliau menyeru orang ramai tidak mudah terpengaruh isu bersifat sentimen.

“Orang awam perlu bersikap matang, sentiasa mematuhi undang-undang dan bekerjasama memelihara keharmonian negara.”

Sebelum ini, media melaporkan kekecohan berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman hujung minggu lalu susulan serbuan DBKL ke atas peniaga tanpa lesen bertukar menjadi pergaduhan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Azry Akmar Ayob, dilaporkan berkata tiga laporan diterima berkaitan insiden itu pada 28 Mac lalu.

Laporan pertama dibuat seorang pegawai penguat kuasa DBKL dan disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Polis turut menerima laporan kedua daripada seorang lagi pegawai DBKL berhubung penyebaran gambarnya di Facebook yang disertakan kenyataan berunsur ancaman, manakala laporan ketiga dibuat ibu kepada peniaga belon itu, Muhammad Zaimuddin Azlan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.