
Selama mendirikan rumah tangga wanita itu tidak pernah bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa menyebabkannya hilang tempat bergantung selepas ketiadaan suami.
“Salah seorang anak menemani saya di rumah. Jadi saya tumpang (bergantung) pada dia sekeluarga.
“Anak yang lain semua dah berkeluarga…mereka ada juga membantu. Tapi mak cik faham, cucu semua sudah bersekolah…banyak nak pakai duit. Tak adalah mak cik harap sangat mereka bantu,” katanya kepada FMT.
Sejak tahun lalu, Jamilah terpilih menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sebulan selama 12 bulan yang membolehkannya membeli barangan keperluan harian sekali gus membantu meringankan beban anaknya.
Warga emas itu yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda sejak 2006 menyatakan lega kerana SARA membolehkannya membeli barangan seperti minyak, gula, susu, telur dan keperluan asas lain setiap bulan.

Jamilah yang turut menerima bantuan Baitulmal berkata, belanja bulanan sedikit meningkat apabila dia disahkan menghidap kanser payudara Jun lalu, yang memerlukannya berulang-alik ke hospital.
Penghidap darah tinggi itu juga memberitahu, baru-baru ini dia menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kiri.
SARA adalah program lanjutan kepada inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan disalurkan menerusi MyKad.
Pada 26 Mac lalu kerajaan mengumumkan peluasan pelaksanaan SARA kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April, meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.

Penerima akan mendapat RM200 sebulan berbanding RM100 sebelumnya, menjadikan jumlah bantuan meningkat sehingga RM2,100 berbanding RM1,200 pada 2024.
Peluasan itu adalah sebahagian daripada peningkatan peruntukan program STR dan SARA kepada RM13 bilion tahun ini, jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan kepada rakyat.
Sementara itu, Jamilah lega apabila semakin banyak pasar raya menyertai program berkenaan sekali gus memberikan penerima SARA lebih pilihan untuk membeli-belah.
“Mudah saja guna kad pengenalan. Ambil barang (yang mahu dibeli, kemudian) tunjuk kad pengenalan. Tak usah isi apa-apa borang,” katanya.