Pencarian pesawat MH370 ditangguhkan, kata Loke

Pencarian pesawat MH370 ditangguhkan, kata Loke

Operasi itu ditangguhkan selepas sebulan pihak berkuasa mengumumkan pencarian pesawat itu disambung semula.

Firma penerokaan maritim Ocean Infinity menghentikan pencarian MH370 di Lautan Hindi dan akan menyambung semula operasi pada hujung tahun ini. (Gambar Ocean Infinity)
KUALA LUMPUR:
Pencarian terbaharu pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang lebih sedekad lalu, ditangguhkan buat sementara waktu, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

“Mereka menghentikan operasi buat sementara waktu tetapi akan menyambung pencarian pada hujung tahun ini,” kata Loke dalam rakaman suara yang dihantar pegawainya kepada AFP.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang itu hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Walaupun pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan telah dijalankan, pesawat tersebut masih belum ditemui.

Kenyataan Loke itu dibuat hanya sebulan selepas pihak berkuasa mengumumkan bahawa pencarian itu disambung semula, susulan beberapa percubaan sebelum ini yang gagal meskipun meliputi kawasan luas di Lautan Hindi.

Pencarian awal yang diketuai Australia merangkumi kawasan seluas 120,000km² di Lautan Hindi selama tiga tahun, namun hanya menemui beberapa serpihan yang dipercayai milik MH370.

Firma penerokaan maritim Ocean Infinity, yang berpangkalan di UK dan AS, turut melakukan pencarian pada 2018 tetapi tidak berjaya sebelum bersetuju melancarkan pencarian baharu tahun ini.

“Sekarang cuaca tidak sesuai,” kata Loke dalam rakaman itu, yang dibuat semasa satu majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

“Sama ada ia akan ditemui atau tidak bergantung kepada pencarian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.