
Ketua Polis Bera Zulkiflee Nazir berkata, siasatan terhadap pemilik akaun Facebook ‘Muhamad Harun’ dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, lapor Sinar Harian.
Katanya, pada 29 Mac lalu pemilik akaun itu memuat naik satu hantaran di laman Facebook ‘Bera Unite’ mendakwa anggota unit rondaan bermotosikal tidak mengambil tindakan terhadap dua penunggang motosikal berbangsa Cina yang tidak memakai topi keledar.
Zulkiflee berkata pemilik akaun Facebook itu mendakwa anggota polis itu hanya menahan dua penunggang motosikal berbangsa Melayu sehingga mereka terpaksa menolak motosikal ke balai polis.
“Hantaran tersebut turut mempersoalkan sama ada undang-undang hanya dikenakan ke atas masyarakat Melayu serta mendakwa kejadian seumpama itu sering berlaku di Triang di sini,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Kata Zulkiflee, hantaran itu dilihat sebagai usaha menjatuhkan imej polis khususnya polis Bera.
Pada 30 Mac lalu, Zulkiflee mengeluarkan kenyataan meminta pemilik akaun Facebook itu segera hadir ke IPD Bera atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan berhubung hantaran itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pemilik akaun ‘Muhamad Harun’ agar menghubungi Pegawai Penyiasat Muhamad Zulhilmi Ishak, di talian 014-2250306 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.