Malaysia kena tarif timbal balik AS 24%

Malaysia kena tarif timbal balik AS 24%

Tarif ditetapkan Presiden Donald Trump itu akan berkuat kuasa 9 April.

donald trump
Menurut perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden AS Donald Trump semalam, Malaysia antara 49 negara yang tersenarai dikenakan tarif timbal balik. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas import dari Malaysia berkuat kuasa 9 April.

Menurut perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden Donald Trump semalam, Malaysia antara 49 negara yang tersenarai dikenakan tarif timbal balik.

Selain Malaysia, Kemboja akan dikenakan tarif timbal balik 49%; Laos (48%), Myanmar (45%); Thailand (37%); Indonesia (32%); Brunei (24%); dan Filipina (18%).

Kadar tertinggi sebanyak 50% dikenakan ke atas Lesotho, manakala kadar paling rendah, 11%, dikenakan ke atas Republik Demokratik Congo.

Dalam perintah eksekutif itu, Trump berkata ini adalah sebahagian daripada dasar AS untuk mengimbangi semula aliran perdagangan global dengan mengenakan tambahan tarif ad valorem ke atas semua import dari 49 rakan dagang.

Beliau berkata tambahan tarif ad valorem ke atas import dari rakan dagangan akan bermula pada kadar 10% dari Sabtu dan akan ditingkatkan tidak lama selepas kadar ditetapkan bagi setiap negara.

“Tambahan tarif ad valorem ini dikenakan sehingga saya menentukan bahawa keadaan yang mendasari keputusan ini telah diselesaikan atau dikurangkan,” katanya.

Bagi import dari Singapura, yang tidak disenaraikan dalam senarai negara yang dikenakan tarif lebih tinggi, ia akan tertakluk kepada tarif standard 10%.

Perintah eksekutif itu turut menyenaraikan import yang dikecualikan daripada tarif timbal balik tersebut termasuk tembaga, emas, kayu balak dan farmaseutikal.

Trump berkata langkah ini diambil kerana terdapat ketidakseimbangan dalam hubungan perdagangan dua hala AS, termasuk kadar tarif yang berbeza, sekatan bukan tarif, serta dasar ekonomi negara-negara rakan dagang yang didakwa menekan gaji domestik dan penggunaan dalam negara.

“Ancaman ini berpunca sebahagian besarnya daripada dasar ekonomi domestik rakan dagang utama AS dan ketidakseimbangan struktur dalam sistem perdagangan global,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.