Kebakaran saluran gas: MB temui ICU, Petronas esok bincang penempatan sementara

Kebakaran saluran gas: MB temui ICU, Petronas esok bincang penempatan sementara

Mangsa akan perlu berada di PPS paling kurang satu minggu lagi, sementara kerajaan Selangor, ICU, dan Petronas bincang penempatan sementara.

Menteri Besar Amirudin Shari kata perbincangan mengenai penempatan sementara bagi mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights akan diadakan esok.
SHAH ALAM:
Menteri besar Selangor akan bertemu Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri dan Petronas esok bagi membincangkan penempatan sementara bagi mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

“Ada beberapa formula kita akan bincangkan dan muktamadkan selaras dengan titah Raja Muda Selangor supaya kita dapat sediakan penempatan lebih selesa kepada mangsa,” kata Amirudin Shari pada sidang media di SUK Selangor, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Pada Ahad atau Isnin saya akan maklumkan tentang proses tersebut,” katanya.

Mangsa akan perlu berada di pusat pemindahan sementara (PPS) paling kurang satu minggu lagi, tambahnya.

Sementara itu, Amirudin melaporkan seramai 630 mangsa daripada 157 keluarga berada di dua PPS, iaitu Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Beliau juga melaporkan 624 mangsa daripada 151 keluarga menetap di rumah saudara atau kawan, atas usaha sendiri.

Berkenaan rumah yang rosak, Amirudin berkata JPBN mendapati 87 buah rumah yang mengalami kerosakan ‘total loss’ dan tidak boleh didiami.

“Sebanyak 148 buah rumah yang terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan,” katanya.

Secara keseluruhan, sehingga kini 308 keluarga melibatkan 1,254 mangsa dikenalpasti dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tambahnya.

Dalam kenyataan menyusuli sidang media, Amirudin mengumumkan bahawa menjelang akhir minggu ini, kerajaan negeri akan menentukan penyelesaian ‘lebih mampan dan selesa’ untuk menempatkan penduduk yang belum dapat kembali ke rumah masing-masing setelah mengkaji tawaran daripada Petronas.

Katanya lagi, pejabat beliau dihubungi oleh syarikat seperti Airbnb, yang mampu menawarkan solusi penempatan sementara waktu tanpa caj kepada penduduk sebelum penempatan jangka masa panjang dapat ditentukan.

“Kesemua opsyen ini akan dipertimbangkan dan ditentukan dalam masa terdekat sementara memberikan ruang sepenuhnya untuk siasatan terperinci berjalan dengan telus,” katanya.

Sementara itu, Amirudin mengumumkan keluarga daripada 85 buah rumah di Taman Harmoni akan dibenarkan pulang mulai malam ini, setelah pembekal utiliti menentukan keselamatan.

“Saluran utiliti dan air telah mula disambungkan bagi rumah-rumah ini yang telah disahkan selamat,” katanya.

Bagaimanapun, perumahan di Kampung Kuala Sungai Baru masih belum dapat diduduki akibat kerosakan yang agak teruk dan perlu melalui proses pembaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.