Kebakaran paip gas Putra Heights: Kabinet akan bincang bantuan tambahan

Kebakaran paip gas Putra Heights: Kabinet akan bincang bantuan tambahan

Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu berkata, langkah bantuan tambahan akan bergantung kepada penilaian kerosakan.

Datuk Seri Mohamad Sabu
Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu berkata, kerajaan komited menyediakan sokongan yang diperlukan buat mangsa kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights. (Gambar Bernama)
SUBANG JAYA:
Kerajaan akan membincangkan langkah bantuan lanjut untuk mangsa kebakaran saluran paip gas Putra Heights pada mesyuarat mingguan Jemaah Menteri Rabu depan, kata Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu.

Mohamad yang juga menteri pertanian dan keterjaminan makanan itu berkata, dalam pada usaha pemulihan diteruskan, Putrajaya komited menyediakan sokongan yang diperlukan buat mangsa, yang ada antaranya dilaporkan kehilangan hampir semua harta benda.

Beliau berkata, langkah bantuan tambahan akan bergantung kepada penilaian kerosakan oleh pihak berkuasa.

“(Bagi mangsa yang kehilangan rumah) perdana menteri telah mulakan bantuan dan akan diikuti dengan bantuan-bantuan yang lain mengikut kadar (kerugian),” katanya kepada pemberita selepas menziarahi lokasi kejadian.

Semalam, FMT melaporkan penduduk yang terjejas akibat kejadian itu berkata, bantuan kewangan kerajaan sebanyak RM5,000 untuk setiap rumah yang rosak tidak cukup.

Penduduk yang ditemui FMT di pos kawalan kejadian berkata, walaupun jumlah kerugian belum diketahui, mereka menjangkakan RM5,000 itu kurang daripada apa yang mereka perlukan.

Mohamad berkata, kebakaran itu merupakan kejadian pertama kali berlaku di Malaysia, memerlukan semakan menyeluruh untuk menentukan tindakan terbaik bagi pemulihan jangka panjang.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, mangsa yang kehilangan dokumen kenderaan mereka dalam kejadian itu boleh menggantikannya secara percuma di pusat pemindahan Masjid Putra Heights.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.