
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mengumumkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (Smart) menemukan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dalam keadaan terkejut, di kawasan kediaman dalam daerah Sagaing.
Mangsa berjaya diselamatkan pada 2.27 petang tadi dengan kerjasama bomba tempatan, dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
“Ini adalah suatu keajaiban kerana mangsa telah terperangkap di bawah runtuhan melebihi 72 jam,” katanya dalam kenyataan.
Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Myanmar pada Jumaat. Daereah Sagaing antara kawasan teruk terjejas.
Sebelum ini, Bernama melaporkan Smart mengeluarkan empat mayat dari bawah runtuhan di daerah tersebut.
Dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita dikeluarkan kelmarin, manakala dua lagi mangsa wanita dikeluarkan tengah hari semalam.
“Kerajaan akan terus memantau situasi bencana ini dengan teliti dan Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) bersama agensi-agensi berkaitan akan memastikan segala bantuan yang diperlukan dapat disalurkan dengan lancar dan berkesan,” katanya.
Ahad lalu dilaporkan 50 anggota Smart akan berada di Myanmar antara tujuh hingga 14 hari, bergantung kepada keperluan di lokasi kejadian.