
JPN memaklumkan mangsa yang kehilangan kad pengenalan, sijil kelahiran, atau dokumen lain yang dikeluarkan oleh jabatan itu boleh mendapatkan dokumen gantian tanpa sebarang bayaran.
Selain itu, JPN memaklumkan Mekar (Program Menyemai Kasih Rakyat) akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara Masjid Putra Heights, esok dari 9 pagi hingga 5 petang.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan jabatan itu menggerakkan perkhidmatan Bas Mekar ke lokasi bagi meringankan beban mangsa yang menghadapi kesukaran untuk ke pejabat JPN pada masa ini.
“Inisiatif ini turut bertujuan untuk memastikan mangsa kebakaran memperoleh dokumen penting mereka dengan segera, sekali gus memudahkan sebarang urusan rasmi yang memerlukan dokumen tersebut kelak,” menurut kenyataan.
Untuk pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan berkenaan, orang ramai boleh menghubungi JPN di talian 03-8880 7077.