
Bilcher Bala dan Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpandangan tidak mustahil calon bebas mampu mencapai kejayaan seperti yang pernah berlaku dalam PRN Sabah 2020, apabila menang di Kuamut, Pitas dan Kemabong.
Masiung Banah menang di Kuamat, Pitas (Ruddy Awah) dan Kemabong (Rubin Balang). Semuanya menyokong pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Dengan peningkatan kesedaran dan ketidakpuasan terhadap parti utama akan menyebabkan lebih ramai pengundi pertimbang calon bebas sebagai pilihan berdaya maju kerana mereka dianggap alternatif lebih tulen dan tidak terikat dengan kepentingan parti,” kata Bilcher kepada FMT.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Kudat Verdon Bahanda berkata kumpulan calon bebas yang bergerak di bawah gelombang hitam akan dipertaruhkan untuk memberi saingan kepada parti utama pada PRN Sabah.
Verdon dilaporkan berkata gerakan itu mampu menawan antara empat hingga lima DUN apabila tinjauannya di lapangan mendapati 80% anak muda atas pagar lebih percaya individu berbanding parti.
Beliau menang Parlimen Kudat atas tiket bebas pada PRU15.

Lee pula berkata: “Jangan sesekali kita pandang enteng calon bebas kerana pada PRN lalu menyaksikan tiga calon bebas menang.”
Bagaimanapun, Bilcher berkata keupayaan calon bebas menawan sesuatu kerusi bergantung kepada cara mereka menonjolkan diri sebagai wakil rakyat yang benar-benar memperjuangkan ‘isu tempatan’.
“Kejayaan mereka bergantung kepada kemampuan untuk menarik sokongan pengundi dan mengekalkan momentum sepanjang kempen,” katanya.
Dengan corak sokongan pengundi yang sentiasa berubah, Bilcher berkata kehadiran calon bebas dijangka memberi impak kepada strategi parti utama, terutama dalam pembahagian kerusi dan kempen pilihan raya.
“Parti politik utama mungkin perlu menilai semula kawasan yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat mereka dan memperkukuh kempen di kawasan berpotensi dimenangi calon bebas.
“Keadaan ini juga mendorong parti utama memberi lebih tumpuan kepada isu tempatan yang relevan bagi memastikan sokongan pengundi tidak beralih kepada calon bebas,” katanya.
Namun, Bilcher dan Lee berpandangan sama bahawa calon bebas berisiko memecahkan undi dalam saingan pelbagai penjuru, yang akhirnya memberi kelebihan kepada parti lebih kuat.
“Tidak semestinya jadi ‘kingmaker’ (dalam pembentukan kerajaan) tetapi membantu memecahkan undi yang akhirnya memberi kelebihan kepada calon/parti tertentu tanpa diduga,” kata Lee.

Sementara itu, Romzi Ationg juga dari UMS berpendapat sebaliknya bahawa calon bebas bukan ancaman utama di kebanyakan kerusi DUN, malah dijangka tidak mempengaruhi aspek pembahagian kerusi oleh parti utama.
“Namun, calon bebas tertentu tetap berupaya meraih kemenangan disebabkan faktor peribadi dan kewangan, selain berperanan sebagai pemecah undi,” katanya.