Bantuan RM1,000 bagi murid, pendidik terjejas kebakaran paip gas

Bantuan RM1,000 bagi murid, pendidik terjejas kebakaran paip gas

Menteri pendidikan berkata bantuan itu akan disalurkan dalam masa terdekat untuk meringankan beban mangsa, khasnya yang kehilangan kelengkapan persekolahan.

Keadaan mangsa kebakaran saluran paip gas yang ditempatkan di PPS Masjid Putra Heights hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan bantuan khas RM1,000 kepada murid dan warga pendidik terjejas dalam kebakaran saluran paip gas di Putra Heights semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata bantuan itu akan disalurkan dalam masa terdekat untuk meringankan beban mangsa, khasnya yang kehilangan kelengkapan persekolahan, termasuk buku teks.

“Untuk anak-anak, guru dan kakitangan KPM terlibat, kita akan berikan sumbangan RM1,000 seorang. Ini termasuk sumbangan lain untuk bantuan persekolahan. Sebab ada yang ‘total lost’ (musnah sepenuhnya), barang keperluan sekolah sudah tidak ada langsung dan musnah.

“Jadi, saya minta JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) bantu. Kita akan mengaktifkan pasukan kaunselor di PPS (pusat pemindahan sementara) ini dan pasukan sokongan akademik,” katanya menurut Berita Harian selepas melawat mangsa di PPS Masjid Putra Heights.

“Anak-anak ini belum boleh memulakan persekolahan mereka minggu depan kerana bergantung kepada persiapan dan kesihatan mereka. Perkara ini ambil sedikit masa bagi memastikan kesediaan mereka dari segi psikologi dan keperluan persekolahan lain.”

Beliau berkata, 102 mangsa termasuk lima guru serta kakitangan KPM terbabit dalam insiden itu.

“Empat murid masih dirawat di hospital. Insiden ini melibatkan anak-anak dari 23 sekolah di sekitar kawasan ini. Untuk itu, KPM ambil tanggungjawab penuh jaga kebajikan mereka.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin turut mengumumkan bantuan tunai RM1,000 kepada keluarga dari Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah yang terjejas dalam kebakaran itu.

Menurutnya, bantuan kepada penduduk dua kampung terletak di kawasan Parlimennya itu akan mula diagihkan hari ini, khasnya bagi mangsa yang rumah rosak sepenuhnya.

“Bagi mangsa masih berada di kampung halaman, kami akan atur pengagihan susulan. Untuk mangsa kategori lain, kami akan mengagihkan sumbangan tunai sebaik mendapat data sah terkini.

“Untuk sebarang keperluan kecemasan, boleh hubungi pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Batu 13 di talian 011-2721 7445,” katanya dalam catatan Facebook.

Beliau berkata, peruntukan RM10,000 juga disediakan untuk tindakan kecemasan lain bagi membantu penduduk di kawasan Parlimennya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.