Anak jati KL lakar sejarah Masjidil Haram, ‘terangi’ kiblat umat Islam

Anak jati KL lakar sejarah Masjidil Haram, ‘terangi’ kiblat umat Islam

Mohamad Nor Adha Abdul Karim bersama tujuh pekerja Malaysia lain ditugas memastikan sistem sambungan elektrik di kawasan baharu Masjidil Haram dalam keadaan baik.

Mohamad Nor Adha Abdul Karim sudah empat bulan bekerja di Tanah Suci.
PETALING JAYA:
Mohamad Nor Adha Abdul Karim tidak menyangka menjadi sebahagian daripada sejarah penting projek perluasan Masjidil Haram selepas dihantar syarikatnya untuk bertugas sebagai penjaga jentera elektrik di Makkah.

Adha, 35, yang kini sudah empat bulan berada di Tanah Suci bersama tujuh pekerja Malaysia yang lain ditugaskan untuk memastikan sistem sambungan elektrik di kawasan baharu Masjidil Haram berfungsi dengan baik dan selamat.

“Kami akan berada di sini sehingga projek ini selesai. Selepas itu kami akan ke Madinah untuk pemasangan payung elektrik di sekitar Masjid Nabawi,” kata anak jati Kuala Lumpur kepada FMT.

Adha dan rakan-rakannya adalah tenaga profesional dari syarikat kejuruteraan antarabangsa, Atom Bright Solution, yang berpangkalan di Bosnia dan Herzegovina. Syarikat tersebut mendapat peluang untuk terlibat dalam projek perluasan masjid terletaknya Kaabah itu, yang menjadi kiblat umat Islam.

Pada Oktober 2022, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Fawzan Al Rabiah, menyifatkan projek perluasan dan pembinaan Masjidil Haram menelan belanja 200 bilion Riyal (RM250 bilion) sebagai yang terbesar dalam sejarah negara itu.

Projek itu melibatkan penambahan kapasiti mataf (dataran tawaf) sebanyak 30,000 lagi jemaah, pemasangan 78 pintu pagar automatik, penambahbaikan sistem bunyi, pembangunan sistem kamera pengawasan dan amaran kebakaran.

Adha yang berpengalaman 15 tahun dalam bidang kejuruteraan elektrik turut mengakui berdepan cabaran ketika bekerja di Tanah Suci antaranya perlu perubahan cuaca tidak menentu serta masalah komunikasi kerana ada antara rakyat negara itu tidak fasih berbahasa Inggeris.

Berkongsi pengalaman bertugas ketika Ramadan, Adha berkata Arab Saudi menetapkan waktu bekerja sepanjang bulan puasa adalah dari 6 pagi hingga 12 tengah hari dan keistimewaan itu memberinya peluang menunaikan umrah dan solat tarawih.

Mohamad Nor Adha Abdul Karim bergambar bersama tujuh lagi rakan sekerja rakyat Malaysia yang bertugas di Makkah.

“Setiap kali melihat Kaabah, saya rasa terharu dan sebak. Ini adalah peluang luar biasa untuk saya menunaikan umrah dan solat tarawih bersama ribuan umat Islam lain. Saya anggap pekerjaan ini sebagai ibadat, dan saya mahu berkhidmat demi keselesaan jemaah haji dan umrah,” katanya.

Bercerita mengenai Aidilfitri, Adha memaklumkan tidak berasa terlalu jauh dari tanah air kerana meraikannya di Kedutaan Malaysia di Riyadh bersama komuniti Melayu-Islam.

“Di kedutaan, makanan akan disediakan. Di sini juga ada perkampungan Melayu Kelantan yang terletak sekitar Bukit Ajyad, di mana ramai orang Melayu menetap,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.