
Bapa kepada dua anak, Shahrol Rashid Ahmad, 49, berkata anak perempuannya memaklumkan api merebak dari rumah dalam lingkungan 200m di Kampung Kuala Sungai Baru sekitar 8 pagi tadi.
“Bila saya tengok, ini macam bukan rumah terbakar (akibat bunga api) tapi saluran paip. Maka, cepat-cepat saya suruh semua keluar.

“Kereta sempat dikeluarkan, tinggal rumah sahaja. Takut juga, tapi nyawa lebih penting. Sedih pun tak guna. Bencana masa raya, nak marah macam mana?” katanya ketika ditemui FMT.
Menurutnya, dia sempat membantu menghantar jiran terkesan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.
“Banyak terkesan. Ada budak kecil, orang dewasa, warga emas pun ada.”
Terdahulu, media melaporkan kebocoran saluran paip gas menyebabkan saluran sepanjang 500m di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar, dekat kawasan perumahan awam.
Susulan itu, pihak berkuasa segera memindahkan penduduk berhampiran ke PPS Masjid Putra Heights.
Penduduk di kawasan perumahan Putra Avenue di Putra Heights, Irene Ho, 45, berkata dia bersama suaminya yang dalam perjalanan ke Pulau Pinang terpaksa berpatah balik selepas dimaklumkan mengenai kebakaran itu.
“Rumah saya dua lorong dari lokasi kejadian, kira okey lagi. Nasib baik anak semua tiada di rumah.
“Semua jalan dekat (lokasi kejadian)sudah tutup. Sekarang pun tak tahu keadaan rumah macam mana.”
Seorang lagi lelaki ingin dikenali Chen, 65, berkata dia dihubungi kawannya yang terjejas kebakaran itu untuk menghantar barang keperluan dan makanan.
“Kawan saya selamat. Sekarang kami tidak dibenarkan masuk.”