
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata operasi pemadaman giat dijalankan selepas panggilan kecemasan diterima 8.10 pagi tadi dan pasukan bomba tiba 12 minit kemudian.
“Kebakaran itu membabitkan kebocoran saluran paip gas Petronas, dengan anggaran 500m saluran paip itu terbakar.
“Kebakaran itu berlaku dekat kawasan perumahan dan anggota bomba bersama agensi lain sedang memindahkan penduduk berhampiran,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, 41 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Puchong, Shah Alam, Bukit Jelutong, Cyberjaya, Rawang, Klang Selatan, Klang Utara serta Damansara bergegas ke lokasi.
Menurutnya, pihak Petronas sudah menutup injap saluran paip terbakar.
“Api merebak ke beberapa rumah di sekitar kawasan kebakaran dan anggota bomba mengeluarkan tujuh mangsa (termasuk dua warga emas),” katanya sambil menambah jumlah sebenar mangsa belum diketahui.
Gambar dan video kebakaran besar itu tular di media sosial sejak pagi tadi menunjukkan api marak dan kepulan asap tebal menjulang ke langit.
Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen, dalam catatan Facebooknya menggesa penduduk berwaspada dan mendoakan keselamatan semua pihak terjejas.