Peguam ‘kotak pensel’ wariskan legasi perjuang keadilan, perpaduan

Peguam ‘kotak pensel’ wariskan legasi perjuang keadilan, perpaduan

Ahmad Zaharil Muhaiyar yang kisahnya diabadikan dalam iklan Raya RHB berkata, berbaloi berjuang demi perubahan bermakna.

Peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar bersama anaknya, Eva Zarina yang berkata, legasi bapanya mendorongnya untuk turut mencipta legasi sendiri.
PETALING JAYA:
Pada 1998, peguam jenayah Ahmad Zaharil Muhaiyar mempertahankan seorang ibu susah berbangsa India yang ditangkap mencuri kotak pensel untuk anaknya – suatu tindakan keadilan ringkas namun membawa impak besar yang kemudian diabadikan dalam iklan Raya RHB bertajuk ‘Lembaran Baharu’.

Walaupun menjadi terkenal menerusi kes itu, dedikasi Ahmad Zaharil yang tidak goyah terhadap keadilan dan perpaduan bermula lama sebelum kes itu dan melangkaui kamar mahkamah.

Nilai-nilainya, wawasannya untuk Malaysia dan cara beliau melihat dunia terbentuk menerusi detik-detik penting dalam tahun-tahun pembentukannya, terutama sekali ketika belajar undang-undang di London pada hujung 80an.

Tinggal bersama rakan serumahnya David, Francis, Simon dan Palaiah di London, Ahmad Zaharil mengalami sendiri betapa indahnya perpaduan, walaupun rapuh.

“Kami macam adik beradik ketika belajar dulu. Pada bulan puasa, mereka akan panggil: ‘Mat, Mat, Mat, turunlah makan sahur! (Kami) dah masakkan kari!’

“Semasa Tahun Baharu Cina, saya beli dua ekor ayam dan masak rendang untuk Simon,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

Bagaimanapun, persahabatan mereka terlerai, akibat perpecahan kaum dan agama di Malaysia, suatu realiti yang pahit bagi banyak hubungan berbilang kaum di negara ini.

“Sebaik sahaja kembali (ke Malaysia) dan mendarat di KLIA, berakhirlah persahabatan dan persaudaraan kami,” katanya.

“Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya: Mengapa ini berlaku? Adakah persahabatan kami ketika di London itu sebenarnya palsu?”

Ahmad Zaharil menegaskan bahawa rakyat Malaysia, sama ada orang biasa ataupun yang berkuasa, mesti mencari penyelesaian untuk mengharungi dunia yang semakin berpecah-belah ini.

Harapan untuk rakyat Malaysia

Ahmad Zaharil aktif bergaul dengan masyarakat pada masa lapangnya, membantu mengusahakan gerai murtabak rakannya di bazar Ramadan serta membuat amal jariah termasuk menyediakan makanan untuk golongan gelandangan.

“Semasa Covid-19, saya guna duit saya sendiri derma dalam tiga tan beras, satu tan tepung dan keperluan lain seperti minyak masak,” katanya.

“Semua orang rasa lapar, tidak kira orang Cina, India atau Melayu. Saya masih buat (amal jariah), dan rancang untuk teruskan selagi boleh.”

Ahmad Zaharil berharap generasi akan datang akan merapatkan jurang yang wujud di Malaysia dan mengiktiraf usaha memperjuangkan perubahan bermakna itu berbaloi.

Beliau mengimbau saat beliau membantu wanita India itu, yang berjanji memberikan kotak pensel kepada anaknya jika menjadi pelajar terbaik.

Beliau menganggap ketidakadilan dalam kes itu amat besar sehinggakan perbezaan seperti bangsa dan agama tidak langsung terlintas pada fikirannya.

“Saya lihat ibu itu dalam kesusahan. Beliau tak mampu buat apa-apa, dan saya ada di situ, jadi saya tolong, itu sahaja,” katanya.

Beberapa tahun selepas itu, Ahmad Zaharil ditakdirkan bertemu semula dengan anak wanita itu, yang akhirnya mengikut jejak langkahnya menjadi seorang peguam.

“Saya tak kenal dia siapa pada mulanya, tetapi apabila dia beritahu kisahnya, saya mula menangis. Saya tak harap apa-apa (daripada pertolongan yang saya berikan).

“Dia masih telefon bertanya khabar. Dia juga jaga ibunya. Itu yang penting bagi saya,” katanya.

Tunjuk teladan

Bapa tujuh anak itu bersungguh-sungguh menerapkan nilai-nilai penting dalam diri anak-anaknya, yang diharapkan akan terus diamalkan sepanjang hidup.

“Kejujuran dan integriti perkara paling penting, tetapi lebih daripada itu, jangan lupakan ibu bapa, hormati dan jaga mereka dan Tuhan akan jaga anda,” katanya.

Nilai ini jelas tergambar dalam diri anaknya, Eva Zarina, yang sangat mengagumi bapanya.

“Apabila saya dengar tentang kes kotak pensel itu, saya sangat bangga (dengan bapa saya) kerana ia mengingatkan saya tentang legasinya, dan memberikan motivasi kepada saya untuk turut memberi impak,” katanya.

Ahmad Zaharil berharap legasi integriti, belas kasihan dan keadilan yang ditinggalkannya, bukan sahaja memberikan inspirasi kepada anak-anaknya, malah generasi belia negara ini pada masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.