Lampu bintang Aidilfitri rekaan Safian terus sinari malam

Lampu bintang Aidilfitri rekaan Safian terus sinari malam

Penduduk Kuala Kangsar Mohd Safian Mohd Salleh berkongsi ilmu pembuatan lampu hiasan berbentuk bintang.

Mohd Safian Mohd Salleh mengabadikan seni kraftangan lampu bintang Aidilfitri dengan harapan tradisi itu terus dipelihara dan tidak ditelan zaman. (Gambar Mohd Safian Mohd Salleh)
PETALING JAYA:
Setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal, kediaman Mohd Safian Mohd Salleh lebih bergemerlapan disebabkan lampu hiasan berbentuk bintang dihasilkannya.

Dikenali lampu bintang Aidilfitri, ia bukan sahaja mencuri perhatian, tetapi turut membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanaknya.

“Saya suka ia menceriakan rumah saya,” kata lelaki berusia 72 tahun itu kepada FMT Lifestyle, sambil menjelaskan lampu itu boleh digantung di halaman, serambi atau dalam rumah.

Safian yang menetap di Kuala Kangsar, Perak tertarik dengan lampu bintang sejak kecil. Dia masih ingat bagaimana lampu itu menerangi halaman setiap rumah, mewujudkan suasana hangat dan meriah.

Ketika itu, katanya, penduduk kampung akan memasang lampu bintang dan pelita pada malam ke-27 Ramadan, turut dikenali Malam Tujuh Likur.

Didorong rasa ingin tahu, Safian memerhatikan orang tua di kampungnya membuat lampu berkenaan. Sejak itu, dia tidak pernah berhenti membuat lampu itu bagi memastikan tradisi ini terus dipelihara.

Lampu bintang ini menarik perhatian pada waktu malam. (Gambar Mohd Safian Mohd Salleh)

Beliau berkata, lampu itu diperbuat daripada buluh dari kampungnya, buluh sama digunakan untuk membuat lemang.

Proses pembuatannya dimulakan dengan membersih dan memotong buluh mengikut panjang diperlukan, sebelum mengikatnya dengan dawai besi halus bagi membentuk bingkai bintang.

Dahulu, dia hanya membuat lampu bintang berbucu lima, kini dia memilih tujuh bucu kerana kelihatan lebih menarik.

Selepas bingkai siap, Safian akan menampal kertas berwarna-warni, warna terang menjadi pilihan bagi memastikan lampu itu tampak menyerlah apabila dinyalakan.

Bagi melindunginya, dia menambah lapisan plastik jernih sebelum dihiasi reben sebagai sentuhan akhir.

Safian belajar membuat lampu bintang ketika muda dan masih seronok menghasilkan lampu itu hingga hari ini. (Gambar Mohd Safian Mohd Salleh)

Lampu berbucu tujuh dihasilkan Safian dalam tiga saiz, iaitu kira-kira 66cm, 71cm dan 76cm yang diukur dari bucu atas hingga bucu bawah bintang. Dia masih menerima tempahan bagi bintang berbucu lima dalam pelbagai saiz.

“Sebelum ini, orang menggunakan lilin atau pelita sebagai sumber cahaya lampu bintang, tetapi kini saya menggunakan mentol elektrik,” katanya sambil menambah setiap lampu dilengkapi mentol, pemegang mentol, palam, kabel dan reben untuk menggantung.

Walaupun menerima tempahan dari seluruh negara, Safian lebih gemar pelanggan mengambil sendiri lampu bintang bagi mengelakkan risiko kerosakan semasa penghantaran.

Malah, mereka yang berminat melihat sendiri hasil krafnya, perjalanan ke Kuala Kangsar pasti berbaloi – bandar diraja yang juga terkenal dengan sejarah serta makanannya.

Biarpun permintaan tinggi menjelang Hari Raya, Safian tetap menghasilkan lampu bintang sepanjang tahun selagi ada tempahan. Sebelum Syawal, lampu ini turut dipamerkan di gerai bunga api milik anaknya.

Safian berharap lampu bintang dihasilkannya terus bersinar, walaupun selepas beliau tiada. (Gambar Mohd Safian Mohd Salleh)

Bagaimanapun, Safian mengakui dia sedih melihat semakin kurang rumah yang menggantung lampu bintang hari ini.

“Saya buat lampu bintang ini dengan harapan ia kembali popular,” katanya sambil menambah dia sedia mengadakan bengkel bagi mengajar generasi muda cara membuat lampu itu.

Harapannya supaya tradisi ini tidak hilang ditelan zaman.

“Bayangkan satu bintang menyinari setiap rumah – pasti indah sekali. Dan bila saya tiada nanti, saya berharap lampu bintang ini akan terus bersinar.”

Untuk maklumat lanjut, hubungi Mohd Safian Mohd Salleh di talian 017-538 9639.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.