
Tinjauan Bernama di kawasan kuil itu mendapati beberapa petugas Kementerian Kesihatan sedang memberikan rawatan awal kepada mangsa, yang kebanyakan mengalami luka, melecur dan kesukaran bernafas.
Difahamkan, lima mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata kebakaran itu berpunca daripada kebocoran saluran paip gas yang menyebabkan saluran sepanjang 500m terbakar, dekat kawasan perumahan awam.
Api kemudian merebak ke beberapa rumah menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan.
Petronas berkata, saluran paip terjejas sudah diasingkan susulan kebakaran di saluran paip utamanya dekat Putra Heights pada 8.10 pagi tadi.
“Tiga stesen minyak Petronas di sekitar – Putra Heights, KM2 LDP dan Putra Bestari – tidak terjejas, tetapi ditutup buat sementara sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam catatan X berkata, sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa kebakaran.
Exco Pengurusan Bencana Selangor, Mohd Najwan Halimi, berkata beberapa rumah di Kampung Kuala Sungai Baru turut terbakar, tetapi jumlah sebelum belum dikenal pasti.
“Ada juga mangsa terperangkap dalam rumah dan usaha menyelamat giat dijalankan,” katanya menurut Bernama sambil menambah mangsa diselamatkan dibawa ke PPS.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam catatan Facebook mengesahkan bekalan elektrik di kawasan terjejas sudah pulih sepenuhnya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata beliau sudah menerima laporan bertulis daripada JBPM Selangor berhubung kejadian itu.
“Kami akan siasat apa yang berlaku sebenarnya. Saya sudah memberi arahan kepada JBPM,” katanya kepada FMT.
Dalam perkembangan sama, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menerbangkan dron di kawasan kebakaran saluran paip gas itu.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata pemantauan kualiti udara akan dijalankan susulan kebakaran pagi tadi.