
Tan Jia Shin, 17, berkata beliau bersama bapa, ibunya yang sarat mengandung dan dua beradiknya berada dalam rumah merasai gegaran kuat kira-kira 8 pagi tadi.
“Kami semua bergegas keluar dan melihat api sedang marak, lokasi kejadian itu cuma dua lorong dari rumah kami.
“Ketika itu, kami hanya fikir keselamatan ibu yang mengandung, kami keluar dari rumah tanpa membawa apa-apa termasuk kereta, dengan bantuan pihak bomba,” katanya ketika ditemui Bernama.
Seorang mangsa yang cedera di kaki kiri akibat melecur, Lee Weng Ken, 42, terkejut melihat siling rumahnya terjatuh dan menghempap kenderaannya di pekarangan rumah.
“Saya terus keluar dari rumah, namun saya terjatuh dan cedera akibat haba daripada kebakaran yang berlaku berhampiran rumah.”
Seorang lagi mangsa hanya ingin dikenali Andy, 52, berkata rumahnya terletak kira-kira 100m dari lokasi kebakaran.
Menurutnya, beliau bersama dua anaknya berusia 14 dan 18 tahun dapat merasai gegaran, sebelum bergegas keluar dari rumah selepas melihat api sedang marak.
“Saya hanya sempat bawa keluar kereta. Anak perempuan saya yang berumur 18 tahun cedera di kaki selepas terjatuh semasa memanjat pagar, akibat haba melampau.
“Kebanyakan barang di sekitar rumah sudah cair, menyukarkan kami keluar dari rumah.”
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan mangsa yang cedera ringan ditempatkan di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya untuk menerima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan.
Setakat 11 pagi tadi, 30 orang menerima rawatan awal dan beberapa lagi dihantar ke Hospital Serdang, Putrajaya serta Cyberjaya untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, bekas wartawan sebuah syarikat televisyen tempatan, Aidil Ghafar, berkata beliau merasai gegaran pada 8.20 pagi.
“Apabila saya buka pintu rumah, saya terhidu bau gas dan merasa bahang api,” katanya sambil menambah lokasi kebakaran kira-kira 200m dari rumahnya.
Beliau yang tinggal di sana kira-kira 10 tahun berkata, sejak dua hari lalu, kerja mengorek dilaksanakan di lokasi berhampiran rumahnya dan percaya ia lokasi saluran paip gas itu.