
Namun, ‘keajaiban’ tercipta apabila anak bongsu daripada lima beradik itu mampu berdiri seawal usia dua tahun dan belajar bergerak menggunakan tangannya.
Kisah murid prasekolah itu mendapat perhatian warganet apabila video memaparkan gelagat hari pertamanya di Sekolah Kebangsaan Bukit Waha, Kota Tinggi, Johor, pada Februari lalu tular.
Ibunya, Siti Azah Mohd Jinal, 38, berkata detik itu adalah saat penuh emosi baginya kerana tidak menyangka Shairid yang sejak kecil menghadapi pelbagai cabaran kesihatan, mampu berdikari dan menyesuaikan diri dengan baik di sekolah.
“Masa bayi kaki dia memang tak boleh bergerak, tapi masuk enam bulan ibu jari mula bergerak dan umur dua tahun dia dah boleh berdiri,” katanya kepada FMT.
Berkongsi pengalaman hari pertama sekolah, Azah berkata dia hampir mendaftarkan Shairid ke kelas program pendidikan khas integrasi (PPKI), namun guru memaklumkan anaknya memiliki tahap darjah kecerdasan (IQ) normal.

“Cikgu PPKI kata IQ dia normal kena hantar kelas biasa, saya pun daftar dia di SK Bukit Waha…syukur tiada masalah Shairid diterima masuk,” katanya.
Dari situ bermula perjalanan Shairid di sekolah, di mana dia bergaul dan belajar seperti kanak-kanak lain sekali gus menambah keyakinan Azah terhadap keupayaan anaknya untuk berdikari.
“Ikutkan masa hari pertama (sekolah) cikgu bagi pelepasan pada Shairid tak perlu ikut perhimpunan, tapi saya degil minta Shairid jalan sekali dengan kawan-kawan lain, saya nak dia rasa pengalaman sama,” katanya.
Ibu tunggal itu enggan anaknya dilihat dengan rasa simpati, justeru berusaha mendidik Shairid berdikari seperti kanak-kanak lain.

Sementara itu, guru prasekolah SK Bukit Waha, Haizul Hakeem Katemin, berkata walaupun Shairid murid kurang upaya pertamanya, menguruskan kanak-kanak tersebut tidak sukar kerana dia lebih selesa melakukannya sendiri.
Katanya, dalam tempoh tiga minggu pertama penerimaan rakan terhadap Shairid sangat positif walaupun pada awalnya mereka keliru dan bertanya mengenai ‘kekurangannya’.
“Saya cuba didik mereka yang Shairid istimewa dan kita kena bantu dan jaga dia. Syukur mereka faham dan dalam usia muda mereka sudah tunjuk sikap prihatin kepada Shairid,” katanya.