Rumah Komuniti Malaysia di Liverpool kembali meriah raya selepas 2 dekad

Rumah Komuniti Malaysia di Liverpool kembali meriah raya selepas 2 dekad

Rumah tiga tingkat di Jermyn Street itu diubah suai dan dipulihkan seperti zaman kegemilangannya dahulu.

Bekas kelasi Jantan Lisot (tiga dari kanan) bersama sekumpulan rakyat Malaysia di depan Rumah Komuniti Malaysia di No 7, Jermyn Street, Liverpool. (Gambar Satay RD)
PETALING JAYA:
Rumah Komuniti Malaysia di No 7, Jermyn Street, dahulunya umpama rumah kedua yang meriah bagi kelasi Melayu di United Kingdom, bertukar sunyi dan dalam keadaan daif lebih 20 tahun.

Rumah yang tingkapnya pecah, papan lantainya reput, dan dicemari sarang burung merpati itu hanya menyakitkan mata, menyebabkan ia ditutup pada 2004.

Namun, hasil rasa bertanggungjawab seorang bekas kelasi terhadap masyarakat, Rumah Komuniti Malaysia kembali ceria dengan kemeriahan Aidilfitri.

Tujuh tahun lepas, Jantan Lisot berazam memulihkan rumah tiga tingkat itu seperti zaman kegemilangannya sebelum ini.

Beliau tidak sanggup melihat rumah itu terus usang tanpa tingkap mahupun bumbung, dan seterusnya dirosakkan pemungut sekerap yang mengambil paip tembaganya.

“Paip air dicabut dan diambil. Disebabkan itu, air sentiasa bocor atau menitis, menjadikan rumah itu lembap,” katanya kepada FMT.

Jantan bertekad memulihkan rumah itu kerana merasakan keakraban masyarakat Malaysia di Liverpool semakin luntur, menyebabkan jenazah dua bekas kelasi beragama Islam yang tidak dituntut waris dibakar, bertentangan amalan Islam.

“Ketika itu, rumah ini ditutup. Jadi, pihak berkuasa tak jumpa sesiapa yang ada kaitan dengan mereka. Itu yang sangat menyedihkan,” katanya.

Rumah Komuniti Malaysia yang lama terbiar mengalami pelbagai kerosakan, termasuk papan lantai reput. (Gambar Jantan Lisot)

Daripada kelab menjadi rumah

Rumah itu asalnya dibeli pada 1962 dengan harga £1,700 – jumlah besar ketika itu – oleh komuniti kelasi Melayu yang mahukan rumah kedua di Liverpool.

Pada mulanya dikenali sebagai Kelab Melayu dan kemudiannya Persatuan Malaysia dan Singapura, rumah itu menjadi persinggahan untuk 300 kelasi berkumpul dan berehat, terutamanya yang bekerja di Blue Funnel Line, sebuah syarikat perkapalan utama British pada pertengahan abad ke-20.

Bagaimanapun, apabila pengunjung asalnya makin berusia, rumah itu tidak diuruskan dengan baik.

Jantan, kini berusia 75 tahun dan bekerja sebagai chef di sebuah restoran ‘fish and chips’ di Liverpool, melabur hampir £4,000 untuk memulihkan rumah itu, membersih dan membaikinya sendiri dengan bantuan rakyat Malaysia di kawasan sama.

Sejak dibuka semula secara rasmi pada Januari, Rumah Komuniti Malaysia di Liverpool menganjurkan pelbagai acara, termasuk bazar Ramadan. (Gambar Jantan Lisot)

Dengan geran £25,000 (RM132,000) daripada pihak berkuasa tempatan Liverpool dan sumbangan rakyat Malaysia yang murah hati, rumah itu kini menjadi pusat komuniti untuk rakyat Malaysia semua lapisan masyarakat, tidak kira pelajar, keluarga mahupun bekas kelasi.

Rumah itu mempunyai ruang tamu untuk rakyat Malaysia berkumpul, dapur, tandas, surau lelaki dan wanita, serta dua bilik tidur bagi mereka yang memerlukan tempat tinggal sementara.

Sejak dibuka semula secara rasmi pada Januari, rumah itu menganjurkan bazar Ramadan, tadarus al-Quran dan solat tarawih.

Kemeriahan beraya

Jantan berkata, rumah itu akan menganjurkan sambutan Hari Raya pada 13 April ini, acara bagi komuniti Malaysia di Liverpool berkumpul dan berkongsi juadah.

Rakyat Malaysia di Liverpool berbuka puasa di Rumah Komuniti Malaysia. (Gambar Jantan Lisot)

“Nanti ada nasi minyak, nasi tomato dan kari. Biasanya orang muda akan buat sate ayam dan kambing, dan selalu ada semua jenis laksa, seperti laksa Pulau Pinang dan laksa Sarawak,” katanya.

Selain sambutan perayaan, Jantan berharap dapat menganjurkan kelas bahasa Melayu dan agama Islam untuk kanak-kanak Malaysia yang dibesarkan di Liverpool.

“Saya perasan ramai kanak-kanak Malaysia di sini sukar kuasai bahasa kebangsaan, malah lupa cara menuturnya. Kami prihatin mengekalkan identiti budaya kanak-kanak, sebab itu perlu tawarkan kelas bahasa Melayu.”

Bimbang masa depan

Jantan berkata, walaupun gembira rumah itu akhirnya dalam keadaan baik, beliau bimbang dengan masa depannya.

“Suatu hari nanti, apabila saya sudah tiada, saya tak tahu apa akan jadi dengan rumah ini yang merupakan pegangan bebas, bermakna milik kita sampai bila-bila.

“Tetapi, jika penjaganya pada masa depan tak berhati-hati atau lebih pentingkan diri daripada rumah ini, ia akhirnya akan musnah, seperti sebelum ini. Itu yang paling saya takutkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.