Pengarah Mahkamah Sabah maut nahas

Pengarah Mahkamah Sabah maut nahas

Polis berkata Toyota Fortuner yang dinaiki Marutin Pagan dilanggar Proton X70 kira-kira 1.59 tengah hari Ahad.

Sebelum dilantik pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Marutin Pagan pernah berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Sesyen di Bintulu, Sibu dan Kuching. (Gambar Facebook)
SIBU:
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Marutin Pagan, 56, maut dalam kemalangan dua kenderaan di Bulatan Kanowit/Durin, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Sibu, Zulkipli Suhaili, yang dihubungi menerusi WhatsApp tengah malam tadi mengesahkan perkara itu.

“Kemalangan melibatkan Toyota Fortuner yang dinaiki mangsa dan Proton X70 itu berlaku kira-kira 1.59 tengah hari Ahad.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati Toyota Fortuner yang menghala ke Sibu dari Pekan Kanowit dilanggar Proton X70,” katanya.

Beliau berkata, Toyota Fortuner yang dipandu wanita berusia 28 tahun itu terbalik, menyebabkan Marutin tercampak sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 42 tahun yang memandu Proton X70, pemandu Toyota Fortuner serta empat lagi penumpang dalam kenderaan itu yang cedera ringan dihantar ke Hospital Kanowit.

Adik mangsa, Maria Pagan dalam catatan Facebook berkata, Marutin dalam perjalanan pulang dari Machan di Kanowit menuju Sibu.

Sebelum dilantik pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Marutin pernah berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Sesyen di Bintulu, Sibu dan Kuching.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.