Pelaburan Pakistan cecah USD397 juta

Pelaburan Pakistan cecah USD397 juta

Anwar Ibrahim kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif akan ke Malaysia pada 9 Mei.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbual dengan rakan sejawatan dari Pakistan, Shehbaz Sharif, petang tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pelaburan Pakistan di Malaysia berkembang baik dan kini mencecah sekitar USD397 juta, atau bersamaan RM1.76 bilion, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar mengalu-alukan lebih banyak pelaburan baharu terutama dalam bidang pertanian, petrokimia dan biojisim, dalam perbualan dengan rakan sejawat, Shehbaz Sharif, petang tadi.

“Kami juga sempat menilai semula memorandum persefahaman yang dipersetujui sebelum ini terutama terkait pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta bidang sains.

“Kami sepakat mahu menyegerakan sebarang urusan tertunggak untuk segera merealisasikan kerjasama ini,” menurut kenyataan.

Turut disentuh perkembangan di Gaza tatkala Israel melanggar perjanjian gencatan senjata dan menggagalkan usaha damai menerusi serangan ganas terhadap rakyat Palestin.

Sementara itu, Anwar mengumumkan perdana menteri Pakistan itu akan ke Malaysia pada 9 Mei.

Lawatan tiga hari Anwar ke Pakistan pada Oktober dilapor meraih potensi perdagangan bernilai RM2.65 bilion, dengan Pakistan turut beri komitmen untuk meningkatkan import minyak kelapa sawit Malaysia, di samping produk berasaskan kayu, baja, petrokimia, serta oleokimia.

Ia turut menghasilkan komitmen pelaburan bernilai RM100 juta dalam sektor halal yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Azhar Mazlan, dilapor berkata industri semikonduktor satu daripada bidang kerjasama baharu utama susulan lawatan Anwar.

Dalam usaha memperluaskan perdagangan dua hala dalam sektor pertanian, Malaysia merancang mengimport daging halal bernilai USD200 juta dan 100,000 tan beras basmati dari Pakistan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.