OKU maut digilis tren: Prasarana hantar laporan ke kementerian, APAD

OKU maut digilis tren: Prasarana hantar laporan ke kementerian, APAD

Laporan disiapkan oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk siasat insiden 22 Feb, kata Prasarana.

Prasarana telah menempatkan lebih ramai polis bantuan dan staf operasi di platform LRT dan MRT, terutamanya di stesen digunakan golongan OKU, kata Presiden merangkap CEO Mohd Azharuddin Mat Sah.
KUALA LUMPUR:
Laporan siasatan berhubung kes seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut digilis tren selepas terjatuh di landasan LRT Titiwangsa bulan lepas telah dihantar ke Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, laporan itu telah disiapkan oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden 22 Feb itu.

Katanya, jawatankuasa itu turut mengesyorkan beberapa penambahbaikan supaya kejadian serupa tidak berulang.

Mohd Azharuddin berkata, Prasarana telah menempatkan lebih ramai polis bantuan dan staf operasi di platform, terutamanya di stesen-stesen yang digunakan golongan OKU.

“Bagi penyelesaian jangka masa sederhana, kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Jika boleh, kami akan pasang sensor di platform supaya dapat beri amaran jika (ada) sesiapa melepasi kawasan bahaya.

“Buat jangka masa panjang, kami akan mula memasang pintu platform automatik (PSD) seperti di stesen MRT,” katanya selepas menyantuni petugas Rapid KL yang bertugas pada Aidilfitri di Hab Bas dan Rel Pasar Seni.

Mohd Azharuddin berkata, 3,730 kakitangan Prasarana, termasuk bas dan rel bertugas hari ini bagi memastikan kelancaran operasi apabila ramai pengguna mengambil peluang cuti umum untuk melawat saudara-mara dan berjalan-jalan di ibu kota.

Sementara itu, katanya, pihaknya juga bersedia meningkatkan frekuensi bas dan rel sekiranya jumlah pengguna meningkat setelah warga kota yang beraya dan bercuti di kampung masing-masing kembali ke ibu negara.

“Pada hari ini, 3,730 orang bertugas untuk semua operasi LRT, MRT dan bas (dan operasi) berjalan seperti biasa. Apabila ramai pulang dari kampung, kami akan meningkatkan frekuensi dan kakitangan seperti hari-hari biasa, iaitu lebih 5,000 kakitangan,” katanya.

Ditanya mengenai ancaman keselamatan siber yang menjejaskan sistem komputer tertentu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Mac, beliau berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan keselamatan dan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara.

Beliau berkata, pihaknya juga menerima arahan daripada Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook untuk memastikan sistem keselamatan siber sentiasa berada pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, Pengurus Stesen LRT KLCC Mohamad Fauzi Abdul Manap, 47, yang berkongsi pengalaman bekerja pada musim perayaan berkata, walaupun sedih tidak dapat beraya dengan keluarga, beliau sedia berkorban demi tugas.

“Tentunya sedih kerana tidak dapat ikut keluarga balik kampung, hanya melihat gambar sambutan menerusi WhatsApp, tetapi ‘alah bisa tegal biasa’. Sebagai pengurus, saya perlu pastikan semua operasi berjalan lancar dan peralatan berfungsi dengan baik.

“Antara cabaran kami bertugas di stesen seperti KLCC, Pasar Seni dan Masjid Jamek ketika Hari Raya adalah ‘diserbu’ warga asing, yang bukan semuanya boleh membaca atau mahir menggunakan perkhidmatan LRT,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.