
Nasihat ini menjelang sidang akhbar malam ini oleh syarikat yang dilantik mengendalikan Menara KL pada 2022, iaitu Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd.
Kementerian berkata ia sedang meneliti perkembangan terkini susulan isu pengambilalihan konsesi Menara KL, dan mengambil maklum akan writ saman dan permohonan injunksi yang difailkan oleh MKLSB lanjutan daripada pelantikan syarikat konsesi baharu.
“Oleh itu, pihak Kerajaan melalui kementerian ini akan memastikan bahawa apa-apa tindakan yang akan diambil kelak adalah selaras dengan proses undang-undang,” menurut kenyataan.
“Sehubungan dengan itu, pihak kementerian memohon agar semua pihak dapat memberikan ruang kepada proses perundangan ini berjalan dengan lancar.”
Kementerian katanya kekal komited terhadap tata kelola yang baik dan akan memastikan perkara ini ditangani dengan sewajarnya.
Minggu lepas, anak syarikat LSH Capital, LSH Service Master Sdn Bhd, menandatangani perjanjian pajakan dengan pesuruhjaya tanah persekutuan.
Perjanjian berkuat kuasa esok hingga 31 Mac 2045 itu memberi syarikat itu hak ke atas tanah seluas kira-kira 4ha (10 ekar), termasuk tapak Menara KL, Tower Terrace dan kawasan bersebelahannya.
Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman untuk mencabar pemberian konsesi itu, menuntut ganti rugi RM20.13 juta dan konsesi dipindahkan kepada mereka.
Mereka mendakwa, terdapat ‘persefahaman’ sedia ada berkaitan pengurusan menara itu, dan LSH Capital ‘mencetuskan pelanggaran’ kontrak yang telah mereka persetujui dengan Putrajaya pada Ogos 2022.
LSH Capital berkata, pihaknya tidak maklum tentang sebarang perjanjian atau perbincangan terdahulu antara kerajaan dengan Hydroshoppe dan MKLSB.
Katanya, pihaknya juga akan mempertahankan saman itu dan terus memenuhi kewajipannya mengikut perjanjian 20 tahun itu.
Sementara itu, Kementerian Komunikasi dalam kenyataan sama menegaskan Menara KL milik kerajaan.
Ia juga menegaskan pengambilalihan konsesi hanya melibatkan perubahan pengurusan dan operasi yang telah dilaksanakan melalui notis pelawaan cadangan (RFP), iaitu suatu tender terbuka bagi projek kerjasama awam swasta (PPP) selaras keputusan Jemaah Menteri.
Bagi maksud tersebut, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri melaksanakan proses RFP dan seterusnya Jemaah Menteri memperakukan pembida berjaya berdasarkan penilaian ke atas RFP tersebut.
“Pembida berjaya ini telah diumumkan oleh pihak kerajaan pada 29 Mei 2024,” katanya.
Dalam pada itu, dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Komunikasi memaklumkan sebanyak lima syarikat menghantar RFP dan MKLSB salah satu daripadanya.
Menurutnya, apabila RFP dibuka semula, kerajaan boleh mendapatkan tawaran lebih kompetitif dari segi harga yang lebih rendah, teknologi lebih canggih, perkhidmatan lebih berkualiti, dan inovasi dalam pengurusan dan operasi.