Anggota tentera tumbuk wanita dibebas dengan jaminan polis

Anggota tentera tumbuk wanita dibebas dengan jaminan polis

Ketua polis Seremban berkata, siasatan kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kerana suspek penjawat awam.

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata, polis membebaskan suspek berusia 35 tahun itu selepas keterangannya selesai diambil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang anggota tentera yang dipercayai menumbuk seorang wanita memandu Perodua Axia dalam kejadian di Senawang kelmarin telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata, polis membebaskan suspek berusia 35 tahun itu selepas keterangannya selesai diambil dan siasatan kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Bukit Aman mengambil alih siasatan kes ini kerana suspek penjawat awam,” katanya, lapor Berita Harian.

Terdahulu tular sebuah klip video di media sosial menunjukkan seorang lelaki menyerang pemandu Perodua Axia yang dikatakan terlanggar anaknya berhampiran bazar Aidilfitri Dataran Senawang.

Mohamad Hatta dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Axia itu, yang dalam perjalanan dari Mydin Senawang menghala ke Senawang, tidak sempat mengelak dua pejalan kaki, termasuk seorang budak perempuan berusia 7 tahun, yang tiba-tiba melintas.

Suspek yang merupakan bapa kanak-kanak itu menjadi berang apabila anaknya dilanggar lalu menumbuk mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu.

Disebabkan kejadian itu, wanita berusia 28 tahun itu mengalami lebam di rusuk kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala, selain keretanya mengalami kerosakan.

Mohamad Hatta berkata, suspek kemudian ditahan ketika dipanggil ke IPD Seremban untuk memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, serta Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.