
Dalam satu rakaman video yang dikongsi pegawai Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, penjaja berkenaan Zaimmudin Azlan, 28, juga mengakui dia berniaga tanpa lesen.
“Tak betul kerana saya sendiri takut dengan mereka (penguat kuasa). Saya pula berniaga tiada lesen, kalau saya jumpa mereka pasti barang kena rampas,” katanya dalam rakaman video itu.
Zaimmudin berkata dia sebenarnya mahu memohon lesen tetapi tidak tahu prosedur untuk berbuat demikian.
“Saya berniaga kerana mahu mencari wang sempena hari raya dan kerana menghidap penyakit angin pasang,” katanya.
Semalam, DBKL dalam menjelaskan situasi yang menurutnya sebenarnya berlaku dalam kejadian Jumaat lalu berkata anggota penguat kuasanya mendapati beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki, menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan.
Katanya, anggota penguat kuasa kemudian menegur penjaja-penjaja ini terlebih dahulu dan mereka memberikan kerjasama dengan beredar, kecuali seorang penjaja belon yang enggan mematuhi arahan kemudian bertindak agresif.
“Seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali,” kata DBKL dalam kenyataan.
“Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila beliau menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.”
Zaimmudin yang dirakam terbaring di katil hospital berkata dia baru lepas menjalani imbasan X-ray dan mendapati tulang belakangnya patah.
Menjawab dakwaan bahawa dia adalah warga asing, Zaimmudin berkata, dia adalah warga tempatan dan berasal dari Jerantut, Pahang.