Nahas Kluang: JPJ siasat audit keselamatan syarikat treler

Nahas Kluang: JPJ siasat audit keselamatan syarikat treler

Siasatan cuba kesan sama ada syarikat patuhi aspek teknikal dalam laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan, kata ketua pengarah JPJ.

Aedy Fadly Ramli
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata, kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya keputusan dan tindakan selanjutnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menjalankan siasatan terperinci serta tindakan audit keselamatan terhadap syarikat treler yang terlibat dalam kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Kluang pada Khamis lepas.

Ketua Pengarahnya Aedy Fadly Ramli berkata, siasatan dijalankan untuk mengesan sama ada syarikat itu mematuhi atau tidak aspek teknikal ditetapkan dalam laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan.

Katanya, pihak JPJ sudah menjalankan siasatan sebaik sahaja kemalangan berlaku, mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Setakat ini, belum ada keputusan daripada hasil siasatan, selain kita juga masih menunggu keputusan laporan daripada pihak polis,” katanya, lapor Bernama.

“Selepas kertas siasatan ini siap sepenuhnya, JPJ akan serahkan semua laporan kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan dan tindakan selanjutnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media operasi pemeriksaan bas di Terminal Amanjaya di Ipoh malam tadi, yang turut dihadiri Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menegaskan siasatan terperinci dan telus akan dijalankan berhubung kemalangan maut yang meragut lima nyawa di KM58.1 lebuh raya itu.

Dalam kejadian pada malam Khamis itu, lima mangsa terkorban termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan ibu bapanya setelah kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan berpunca daripada sebuah treler yang tayarnya pecah.

Treler dipandu lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu hilang kawalan dan berlanggar dengan tiga kenderaan lain.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata, hasil semakan mendapati pemandu treler terbabit mempunyai empat rekod kesalahan lampau, termasuk dua rekod polis.

“Rekod JPJ mendapati pemandu telah melakukan kesalahan teknikal dari 2017 hingga 2022 namun semua kesalahan tersebut telah diselesaikan,” katanya.

Kesalahan tersebut termasuk gagal mematuhi notis pemeriksaan berkala, membawa muatan secara tidak selamat dan membawa muatan menjulur melebihi badan kenderaan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.