Kadar kemalangan, saman meningkat hari pertama Op Selamat

Kadar kemalangan, saman meningkat hari pertama Op Selamat

Kes kemalangan dan saman dikeluarkan masing-masing meningkat 16%, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah JSPT Bukit Aman Mohd Yusri Hassan Basri, berkata namun kes kematian menurun kepada tujuh kes, berbanding 21 kes pada Op Selamat 2024. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hari pertama Op Selamat 2025 menyaksikan kes kemalangan dan saman dikeluarkan masing-masing meningkat 16%, berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Pengarah Mohd Yusri Hassan Basri, berkata sebanyak 2,040 nahas berlaku pada hari pertama operasi, berbanding 1,758 kes pada 2024.

Namun, kes kematian menurun kepada tujuh kes, berbanding 21 kes dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

“Lebuh raya, jalan persekutuan, dan jalan bandaran antara kategori jalan yang merekodkan peningkatan kes kemalangan. Ini disebabkan pertambahan kenderaan yang menuju ke kampung halaman bagi menyambut perayaan Aidilfitri.

“Kategori kematian mengikut pengguna jalan raya mendapati empat kes daripada jumlah keseluruhan melibatkan penunggang motosikal, dua kes pejalan kaki serta satu kes membabitkan pemandu kereta,” katanya menurut Bernama di Plaza Tol Ipoh Utara (Jelapang), Ipoh.

Dalam pada itu, Yusri berkata 8,841 saman dikeluarkan pada hari pertama operasi iaitu peningkatan 16%, berbanding 7,308 saman dalam tempoh sama.

“Hal ini pihak polis meningkatkan pengeluaran saman secara bersemuka yang bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya.

Yusri berkata, satu pasukan khas ditubuhkan iaitu Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) yang ditempatkan di 13 lokasi melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

“Pasukan ini telah bersiap siaga dan memantau selama 24 jam dan kita akan membantu jika berlaku sebarang kemungkinan terhadap pengguna jalan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.