Gempa Myanmar: Misi bantuan 50 anggota SMART mungkin hingga 14 hari

Gempa Myanmar: Misi bantuan 50 anggota SMART mungkin hingga 14 hari

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, tempoh misi bergantung kepada keperluan di lokasi.

Pasukan SMART 50 anggota berlepas ke Myanmar dari Pangkalan Tentera Udara Subang hari ini.
SHAH ALAM:
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) 50 anggota yang dihantar ke Myanmar hari ini dijangka berada di negara dilanda gempa bumi itu antara tujuh hingga 14 hari.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, tempoh misi itu bergantung kepada keperluan di Myanmar.

“Kami harap bantuan ini dapat mempercepat misi kumpulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut melibatkan pasukan daripada beberapa negara lain,” katanya selepas program misi bantuan kemanusiaan gempa bumi Myanmar di Pangkalan Tentera Udara Subang.

Zahid berkata, pasukan itu turut membawa bersama peralatan sebanyak 33 tan, termasuk dua lori lima tan dan peralatan perubatan.

Selain itu, katanya, sebarang penambahan anggota pasukan akan dirancang dan diputuskan berdasarkan keperluan.

“Kami akan berbincang dengan duta dan melakukan koordinasi dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mahupun Wisma Putra untuk mendapatkan nasihat mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid berkata, kerajaan akan mempertimbangkan elaun tambahan bagi anggota pasukan tersebut yang sanggup ‘mengorbankan’ sambutan Aidilfitri bersama keluarga demi membantu mangsa di Myanmar.

“(Memang) ada elaun tetap yang telah disiapkan melalui prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, tetapi kebetulan hari raya ini, (kami) akan pertimbang setelah berbincang dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.

Semalam, dilaporkan kerajaan akan menggerakkan pasukan 50 anggota ke Myanmar susulan gempa bumi mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar di negara itu.

Kementerian Luar berkata, pihaknya dan Kedutaan Malaysia di Yangon sedang memudahkan segala urusan dan akan menyokong operasi di lapangan.

Gempa bumi kuat dengan magnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10km Jumaat lalu, yang turut dirasakan di Thailand, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS). Gempa susulan dengan magnitud 6.4 berlaku beberapa minit kemudian.

Susulan kejadian itu, darurat diisytiharkan di wilayah Sagaing, Mandalay, Magway, Bago, Negeri Shan Timur dan ibu negara Myanmar, Naypyidaw, serta Bangkok di Thailand.

Gempa bumi itu dilaporkan mengorbankan dan mencederakan ribuan orang di Myanmar dan Thailand, dengan ratusan masih hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.