Dari kedai Atuk ke Istana: Songkok Masood Hussin pelengkap Aidilfitri

Dari kedai Atuk ke Istana: Songkok Masood Hussin pelengkap Aidilfitri

Nur Dalila Abd Ghani meneruskan legasi Masood Hussin dari Muar, membawa seni tradisional ke tahap premium.

sultan ibrahim
Sultan Ibrahim mengenakan songkok hasil buatan Masood Hussin ketika Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac 2015. (Gambar kerajaan Johor)
MUAR:
Menjadi pembuat songkok bukan kerjaya impian Nur Dalila Abd Ghani, namun niat ingin membalas budi datuk dan nenek membawa kepada Butik Songkok Masood Hussin menjadi sebutan golongan yang pandai menilai.

Mengenang perjalanannya mengangkat nama Masood Hussin, detik penentuan bagi Dalila, 46, tiba apabila neneknya menyampaikan suatu harapan selepas pemergiannya datuknya.

“Sebenarnya pada awalnya macam terpaksa, nenek minta sambunglah masa itu arwah atuk sudah meninggal. Berat juga tetapi kita fikir nak membalas budi, kita ikutkan sahaja,” katanya, yang dibesarkan oleh mereka sejak kecil.

Graduan Universiti Teknologi Mara ini akhirnya membulatkan tekad memandangkan tiada orang lain dalam keluarga yang mahu meneruskan perniagaan datuknya, yang diasaskan sejak 1947.

Keputusan Dalila menceburi bidang penghasilan songkok pada 2002 itu mengundang pelbagai reaksi dan persoalan. “Ada orang cakap buat apa belajar tinggi-tinggi kalau setakat nak buat songkok?”

“Tapi, pada saya, ilmu tetap penting. Saya nak tunjuk yang songkok ini ada kelasnya tersendiri,” katanya.

Kelas yang Dalila inginkan itu tersemat pada setiap songkok di butiknya di Muar, Johor. ‘Tailor-made’ mahupun ‘ready-to-wear’, kerja tangan Masood Hussin mempamerkan jahitan kemas bagi menyatukan fabrik yang lembut tapi lasak, strukturnya kukuh apabila disentuh namun selesa digayakan, tidak mudah renyuk dan senang dibersihkan.

Bertitik tolak daripada asas kualiti itu, Dalila menyuntik inovasi pada setiap peringkat penghasilan agar pelanggan kenang pengalaman memiliki songkok Masood Hussin.

Butik Songkok Masood Hussin
Nur Dalila dan suaminya Zahedy Zakaria meneruskan legasi songkok jenama Masood Hussin dari Muar, membawa seni kraf tradisional ke tahap eksklusif.

Dalila percaya Masood Hussin berjaya melakar ruang tersendiri di kala songkok semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

“Sekarang ramai yang datang sendiri cakap, ‘Kak, saya tak pernah pakai songkok, ajar saya boleh?’ Itu satu kepuasan,” katanya.

Namun kemuncak pengesahan titik peluh Dalila ialah tempahan daripada Istana Johor untuk pertabalan Sultan Johor.

“Kita rasa macam banggalah sebab pertabalan itu hanya sekali sahaja dalam seumur hidup kan,” katanya.

songkok
Songkok Masood Hussin dijual pada harga RM15 hingga RM400, malah ada yang mencecah RM3,000 bergantung kepada bahan dan tempahan khas.

Tahun demi tahun, Dalila yang berniaga bersama suaminya, Zahedy Zakaria, 46, sibuk menyiapkan tempahan yang dijual pada harga RM15 hingga RM400, malah ada yang mencecah RM3,000 bergantung pada bahan dan tempahan khas.

Permintaan tinggi terutama musim perayaan mendorong jualan hingga 30,000 unit setahun. “Dulu meniaga songkok memang fikir bulan puasa saja tapi Alhamdulillah sekarang tempahan dah ada sepanjang tahun.”

Dalila tidak melihat perniagaan ini sekadar mencari rezeki tetapi tanggungjawab memastikan warisan songkok terus hidup dalam masyarakat moden.

“Kenapa kasut berjenama boleh jadi mahal tapi songkok orang pandang rendah? Saya nak ubah persepsi itu. Songkok kita junjung di kepala, jadi martabatnya juga perlu kita angkat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.