‘Tiada masalah berapa penjuru sekali pun’, kata Kamil Munim

‘Tiada masalah berapa penjuru sekali pun’, kata Kamil Munim

Pada 18 Mac timbalan ketua Pemuda PKR itu menawarkan diri bertanding jawatan ketua Pemuda.

Muhammad Kamil Abdul Munim
Muhammad Kamil Abdul Munim berkata ‘gelanggang’ pemilihan parti sentiasa terbuka dengan prinsip demokratik dipegang parti selama ini. (Gambar Bernama)
GOMBAK:
Muhammad Kamil Abdul Munim yang akan bertanding ketua Pemuda PKR berkata beliau tiada masalah berdepan ‘berapa penjuru’ dalam merebut jawatan itu pada pemilihan parti Mei ini.

Setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan berkata, ‘gelanggang’ pemilihan parti sentiasa terbuka dengan prinsip demokratik dipegang parti selama ini.

“Siapa-siapa boleh menawarkan khidmat mereka untuk memimpin Pemuda di semua peringkat. Tak timbul isu ada penjuru atau tidak.

“Biar anggota buat keputusan sebaiknya bagi sayap Pemuda, lagipun pencalonan tak buka lagi,” kata timbalan ketua Pemuda PKR dalam sidang media selepas program Rawang Mantai Anak Muda.

Pada 18 Mac lalu Kamil menawarkan diri bertanding ketua Pemuda PKR menjelang pemilihan parti.

Katanya, langkah itu bagi perkukuh sayap PKR selain menekankan proses ‘regenerasi’ bermula daripada akar umbi.

Ketika ini, jawatan ketua Pemuda PKR disandang Adam Adli Abdul Halim yang juga timbalan menteri belia dan sukan.

Pada 8 Mac, Adam mengumumkan bertanding kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan nanti.

Sementara itu, Kamil berkata pihaknya akan memperbanyak dan mempergiatkan aktiviti dalam kalangan anak muda bagi mendekati golongan terbabit.

“Ada penambahan dan peningkatan aktiviti program Pemuda khususnya sepanjang Ramadan ini, kami tidak boleh hanya rasa puas hati terhadap tahap tersebut.

“Sebaliknya perlu terus berusaha melipat-gandakan usaha menarik sokongan anak muda dari semasa ke semasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.