
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berkata wanita berusia 71 tahun itu pada mulanya dihubungi suspek pada Februari yang menyamar pegawai kesihatan dan memaklumkan mangsa mempunyai bil tunggakan rawatan berjumlah RM68,000.
Beliau berkata, selepas mangsa menafikan perkara berkenaan, akaun bank miliknya pula didakwa terlibat aktiviti pengubahan wang.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa berhubung dengan beberapa individu kononnya pegawai polis untuk menyelesaikan masalah itu dan wanita berkenaan telah didorong melakukan tujuh transaksi ke dalam satu akaun berjumlah RM200,000 menggunakan wang simpanannya,” katanya menurut Bernama.
Yahaya berkata, mangsa yang kemudiannya mengesyaki diperdaya telah membuat laporan di IPD Maran semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.