Gempa bumi Myanmar: Kerajaan hantar pasukan HADR sokong usaha urus bencana

Gempa bumi Myanmar: Kerajaan hantar pasukan HADR sokong usaha urus bencana

Perancangan ini menggantikan penghantaran pasukan secara berperingkat yang dirancang sebelum ini, menurut Kementerian Luar.

Myanmar
Gempa bumi semalam dilaporkan mengorbankan lebih 150 orang di Myanmar dan Thailand, manakala ratusan lain cedera dan puluhan terperangkap dalam bangunan runtuh. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan menggerakkan pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Pertolongan Bencana (HADR) terdiri daripada 50 anggota ke Myanmar esok, susulan gempa bumi mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar di negara itu.

Kementerian Luar berkata, perancangan ini menggantikan penghantaran pasukan secara berperingkat yang dirancang sebelum ini, berikutan kemas kini operasi daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Langkah ini diambil bagi memastikan penyampaian bantuan yang lebih pantas dan cekap ke kawasan yang terjejas, tambahnya.

“Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Yangon sedang memudahkan segala urusan dan akan menyokong operasi di lapangan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu dilaporkan dua pasukan Nadma akan dihantar ke Yangon bagi menyokong usaha pengurusan bencana di Myanmar.

Satu pasukan 10 anggota akan dihantar hari ini bagi memberikan bantuan teknikal dan menjalankan penilaian keperluan, manakala satu lagi pasukan 40 anggota akan dihantar esok untuk memberi tumpuan kepada kawasan keutamaan yang dikenal pasti dalam penilaian awal.

Menurut Wisma Putra, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaan Malaysia menyokong segala usaha bantuan dan pemulihan susulan gempa bumi yang melanda kawasan tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China itu, sebagai tanda solidariti bersama negara jiran Asean.

Komitmen itu diulangi Menteri Luar Mohamad Hasan yang menegaskan bahawa Asean bersedia membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana menerusi Pusat Penyelarasan Asean bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana agar bantuan kemanusiaan disampaikan dengan segera, tepat dan berkesan.

“Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap kerjasama serantau dan akan terus menyumbang secara bermakna kepada usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di seluruh Asean,” kata Wisma Putra dalam kenyataan.

Terdahulu dilaporkan gempa bumi kuat dengan magnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10km semalam, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), yang turut dirasakan di Thailand. Gempa susulan dengan magnitud 6.4 berlaku beberapa minit kemudian.

Susulan kejadian itu, darurat diisytiharkan di wilayah Sagaing, Mandalay, Magway, Bago, Negeri Shan Timur dan ibu negara Myanmar, Naypyidaw, serta Bangkok di Thailand.

Gempa bumi itu dilaporkan mengorbankan lebih 150 orang di Myanmar dan Thailand, manakala ratusan lain cedera dan puluhan terperangkap dalam bangunan runtuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.