
Menurut DBKL, ketika melakukan rondaan berkala di lokasi itu pada malam Jumaat lepas, anggota penguat kuasanya mendapati beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki, menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan.
Katanya, anggota penguat kuasa kemudian menegur penjaja-penjaja ini terlebih dahulu dan mereka memberikan kerjasama dengan beredar, kecuali seorang penjaja belon yang enggan mematuhi arahan kemudian bertindak agresif.
“Seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali,” kata DBKL dalam kenyataan.
“Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila beliau menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.
“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghalang kemungkinan insiden yang lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas untuk menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa.”
Tambahnya, situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal tanpa mana-mana pihak tercedera.
Menurut DBKL, satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian ini.
Sehubungan itu, DBKL berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa terlibat.
Sekiranya perlu, katanya, pihaknya juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta mengganggu ketenteraman awam,” katanya menambah, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan tanpa mengambil kira latar belakang kaum.
Terdahulu, tular di media sosial klip video menunjukkan anggota penguat kuasa DBKL didakwa mengasari seorang penjaja belon dipercayai tanpa lesen di kawasan itu, mengundang kecaman warganet.
Dalam klip video tersebut, beberapa kumpulan individu, dipercayai peniaga lain, turut dilihat ‘bertempur’ dengan penguat kuasa, menyebabkan kekecohan.
DBKL hari ini memohon kerjasama semua pihak agar menghentikan hebahan sentimen serta spekulasi negatif dan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan.
Pihak berkuasa tempatan itu turut menyeru agar semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan.