
Ketua PKR Kuala Selangor, Thiban Subramaniam turut sokong kuil mahupun rumah ibadat lain sengaja dibina tanpa kelulusan dan tidak mempunyai sejarah, diambil tindakan oleh kerajaan.
Katanya, majoriti kuil di negara ini dibina semasa kolonial British berdasarkan lokaliti ladang dan ‘division’ sesebuah kawasan.

“Ia adalah kuil-kuil diiktiraf sah pada masa itu. Dalam era pembangunan selepas merdeka, banyak kuil-kuil tidak didaftarkan status tanah.
“Ini adalah masalah tidak ditangani selama ini, dan bukannya kuil itu adalah kuil haram,” katanya dalam kenyataan.
Pada 14 Feb, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak cadangan dilantik menteri bagi portfolio hal ehwal bukan Islam, susulan cadangan dikemukakan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui, di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, menteri perpaduan dan Jawatankuasa Harmoni mewakili semua kaum adalah memadai.
Dalam pada itu, Thiban turut menyuarakan kegusaran terhadap kumpulan Facebook “Rumah Ibadat Haram Dibina Dimana Hari Ini?”, didakwa menghimpunkan hantaran menyasarkan kuil Hindu dan tokong Cina.
Kumpulan itu dipercayai dibentuk berikutan kontroversi pemindahan tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman untuk membina Masjid Madani, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jakel Trading Sdn Bhd memperoleh tanah itu pada 2012 dan lapan tahun kemudiannya mendapat kebenaran membina sebuah masjid, namun menangguhkan proses itu bagi ‘menghormati’ proses pemindahan kuil.
Pada 25 Mac, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa umum kuil Hindu itu yang dirancang ditempatkan semula untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid, akan dipindahkan 50m dari lokasi semasanya.
Mengulas lanjut, Thiban berkata bukan hanya kuil, tokong cina, gereja, malah surau, dan masjid juga perlu diselesaikan isu tanah, jika rumah ibadatnya wujud bertahun-tahun dan tidak digazetkan.
“Kita tidak boleh melabel rumah ibadat tersebut rumah ibadat haram tanpa menyemak fakta dan kronologi,” katanya.