Berbuka 3 minit awal, jemaah masjid di Johor dinasihat ganti puasa

Berbuka 3 minit awal, jemaah masjid di Johor dinasihat ganti puasa

Kejadian berlaku apabila bilal bertugas melaungkan azan lebih awal dan tidak merujuk jam mengikut standard Sirim.

Mohd Fared Mohd Khalid
Exco Johor  Mohd Fared Mohd Khalid dalam program Ihya Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Sekawan Desa. (Gambar Bernama)
BATU PAHAT:
Jemaah sebuah masjid di negeri ini dinasihatkan qada (mengganti) puasa selepas didapati berbuka tiga minit awal daripada waktu sebenar, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata kejadian berlaku apabila bilal bertugas melaungkan azan lebih awal dan tidak merujuk jam mengikut standard Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

Beliau berkata, semakan mendapati hanya jemaah di dalam masjid berkenaan terkesan dan tidak menjejaskan penduduk sekitar yang tidak hadir ke masjid itu.

“Semasa kejadian berlaku, masjid berkenaan ada membuat aktiviti dan hanya mereka yang ada di situ yang terjejas…jadi saya nak nasihatkan kepada mereka supaya dapat menggantikan puasa kerana jelas sudah terbatal kerana berbuka awal.

“Saya juga menasihatkan kepada semua bilal di negeri ini supaya dapat berhati-hati dan tidak mengulangi kesilapan…dan perkara ini kejadian terpencil.

“Sebenarnya kita (kerajaan negeri) telah memberikan arahan kepada semua surau serta masjid supaya menggunakan jam Sirim sebagai panduan bukan menggunakan jam peribadi,” katanya kepada pemberita selepas program Ihya Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Sekawan Desa, malam tadi.

Terdahulu, dalam hantaran di media sosial pada 25 Mac, Kadi Kluang Sabarudin Isnin menzahirkan dukacita selepas sebuah masjid di daerah ini melaungkan azan tiga minit lebih awal dari waktu maghrib menyebabkan orang yang mendengarnya turut berbuka puasa.

Sementara itu, dalam program sama pihaknya melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Waqaf An-Nur dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) menyalurkan sumbangan sempena Aidilfitri.

“Sebanyak RM1.5 juta telah disalurkan kepada golongan asnaf dan pegawai masjid serta surau dalam program berbuka puasa anjuran Rumah Orang Semerah yang juga program tahunan di sini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.