8 minit beri amaran gempa, kata MetMalaysia

8 minit beri amaran gempa, kata MetMalaysia

Ketua Pengarah Mohd Hisham Mohd Anip berkata pihaknya ketika ini mengoperasikan 80 sensor seismik di seluruh negara.

Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Myanmar pada Jumaat. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berupaya menyalurkan maklumat gempa bumi kepada orang awam dalam tempoh lapan minit selepas dikesan sensor, kata Ketua Pengarah Mohd Hisham Mohd Anip.

Katanya, MetMalaysia ketika ini sedang mengoperasikan 80 sensor seismik di seluruh negara bagi mengesan sebarang aktiviti gempa bumi dalam negara dan serantau.

Beliau berkata, pada masa sama seluruh negara di dunia juga berkongsi data daripada sensor mereka untuk makluman bersama.

“Setakat ini MetMalaysia juga mengoperasikan 83 siren tsunami yang terletak di lokasi yang terdedah kepada tsunami di seluruh negara.

“Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) berupaya untuk menyalurkan maklumat gempa bumi kepada orang awam dalam tempoh lapan minit selepas dikesan oleh sensor,” katanya kepada Bernama.

SAATNM berperanan mengesan gempa bumi yang berlaku di rantau ini dan seterusnya mengeluarkan maklumat gempa bumi serta nasihat atau amaran jika ia berpotensi menjana ombak tsunami.

Semalam, Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10km dan beberapa minit kemudian, gempa susulan berukuran 6.4 pada skala richter melanda kawasan sama.

Gegaran kedua-dua gempa turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok, Thailand, dan Ho Chi Minh, Vietnam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.