Masih ada tiket perantau beraya ke Malaysia Timur

Masih ada tiket perantau beraya ke Malaysia Timur

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata tambang tiket pada musim perayaan kekal lebih berpatutan susulan campur tangan kerajaan.

Loke Siew Fook
Loke Siew Fook mengagihkan cenderamata Hari Raya bagi penerbangan Batik Air ke Tawau, di KLIA Terminal 1. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Campur tangan kerajaan membolehkan tambang penerbangan pada musim perayaan dari Semenanjung ke Malaysia Timur kekal lebih berpatutan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Katanya, masih tersedia kekosongan penerbangan ke Malaysia Timur tahun ini, bagi mereka merancang perjalanan saat-saat akhir pulang beraya.

Loke berkata, usaha syarikat penerbangan meningkatkan kekerapan penerbangan juga membantu mengurangkan tambang, dengan harga tiket lebih terkawal dan tidak terlalu mahal. Beliau menekankan Putrajaya hanya memberi subsidi tambang penerbangan jika harga tiket melebihi RM499.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam inisiatif ini,” katanya kepada pemberita di KLIA selepas menghantar penumpang menuju ke Malaysia Timur bagi Aidilfitri.

Malaysia Airlines dan Firefly memperuntukan lebih 200 penerbangan ketika waktu puncak Ramadan dan Hari Raya.

Syarikat penerbangan berkenaan juga menawarkan tambang tetap semua sehala bermula RM389 ke Sabah dan RM319 ke Sarawak untuk penerbangan lewat malam.

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia turut menawarkan diskaun tambang sehala bawah RM400 untuk penerbangan dari Malaysia Barat ke Sarawak, Sabah, dan Labuan sempena Aidilfitri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.