Jenaka seks mungkin gangguan seksual di tempat kerja, kata mahkamah

Jenaka seks mungkin gangguan seksual di tempat kerja, kata mahkamah

Mahkamah Perusahaan Sarawak kata adalah salah untuk menormalkan jenaka yang mungkin cenderung kepada gangguan seksual.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan kata dasar institusi kewangan secara jelas menyatakan jenaka bersifat seksual contoh gangguan seksual. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Perusahaan mengekalkan keputusan sebuah bank untuk memecat seorang pegawai yang didapati bersalah atas lima pertuduhan gangguan seksual, dan berkata maruah wanita tidak boleh dijadikan bahan jenaka di tempat kerja.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan Sarawak Taufik Yusoff berkata adalah salah untuk menormalkan jenaka yang mungkin cenderung kepada gangguan seksual.

Pihak yang menuntut, yang telah berkhidmat dengan Malayan Banking Bhd selama 31 tahun, dipecat pada Disember 2023 selepas lembaga tatatertib bank menolak penjelasannya ketika menjawab surat tunjuk sebab.

Taufik memuji tindakan pihak bank dan berkata dasar institusi kewangan secara jelas menyatakan jenaka bersifat seksual contoh gangguan seksual.

Menurutnya, majikan yang munasabah akan mengambil langkah sama iaitu memecat pekerja terbabit bagi mengekalkan imej korporat dan memastikan keharmonian di tempat kerja.

“Tiada hukuman yang sesuai dengan tindakan yang dilakukan oleh pihak yang menuntut terhadap pengadu selain pemecatan kerja.

“Perlu juga diperhatikan bahawa dalam kes gangguan seksual, pertimbangan utama mahkamah adalah perasaan mangsa apabila dikenakan tindakan sedemikian terhadapnya.

“Apa yang dirasai pengganggu ketika melakukan tindakan itu, seperti mengatakan ia hanya gurauan atau perkara biasa, bukan pertimbangan utama; melainkan ada tindakan timbal balik oleh pengadu, yang secara munasabah boleh dilihat atau tersirat turut menyumbang kepada tindakan sedemikian,” katanya dalam award baru-baru ini.

Dalam kes ini, Taufik berkata, pihak yang menuntut gagal membuktikan bahawa mangsa telah bertindak balas dengan cara yang menunjukkan dia bersetuju dengan jenaka itu atau tidak tersinggung, dimalukan atau gentar dengannya.

“Tiada keterangan yang dikemukakan oleh pihak yang menuntut untuk menunjukkan bahawa terdapat situasi sebelum ini antara dia dan mangsa untuk mahkamah mendapati secara positif bahawa adalah perkara biasa bagi mereka untuk melakukan cara sedemikian,” katanya.

Taufik berkata, pihak yang menuntut apabila ditanya oleh peguam bank jika tindakannya terhadap pengadu adalah tidak wajar, dia berkata: “Saya tidak bersetuju. Ia adalah perkara biasa bagi saya. Ia adalah gurauan dan spontan.”

Pihak yang menuntut mendakwa bahawa pengadu tidak pernah secara jelas menyuruhnya berhenti, yang membuatkan dia percaya bahawa dakwaan gangguan itu hanya ditafsirkan sebagai gurauan mesra antara mereka.

Taufik bagaimanapun berkata ini bukanlah pembelaan yang mencukupi dalam keadaan kes itu kerana mangsa menyangka dia boleh menangani keadaan itu.

Beliau juga menegaskan pihak yang menuntut mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa, walaupun pengadu tidak menyuruhnya supaya ‘henti’, dia memahami bahawa dia membantah melalui perkataan atau cara lain.

Dalam kes itu, pihak yang menuntut dituduh secara rahsia mengambil gambar pengadu tanpa pengetahuannya dan berulang kali meminta dia makan bersama, termasuk makan malam dengan cahaya lilin. Pengadu telah menolak ajakan ini pada masa lalu.

Dia juga dituduh menghantar teks yang tidak wajar kepadanya, mengambil gambar bahagian belakang dan memberitahu dia berhasrat untuk membeli perisian yang boleh menanggalkan pakaiannya daripada gambar itu, dan satu lagi kenyataan yang tidak wajar tentang gam yang difahamkannya mempunyai nada seksual.

Andrew Lo dari Kesatuan Pekerja Bank Sarawak mewakili pihak yang menuntut manakala Gordon Tang mewakili Maybank.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.