
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata kumpulan itu hanya mengulangi kegagalan ‘fungsi’ Gerakan bagi menarik sokongan lebih besar masyarakat bukan Melayu selama ini.
“Umno yang dikatakan lebih mesra pengundi bukan Melayu pun, MCA mempunyai kekangan sendiri dan sukar untuk menarik golongan itu, apatah lagi dalam PN untuk mengundi PAS. Ia tak mudah.
“Kegagalan Gerakan menarik sokongan (bukan Melayu) bukan kerana mereka (bukan Melayu) tidak suka atau tidak percaya kepada Gerakan, tetapi disebabkan ada PAS yang terlampau ekstrem dalam memberikan pandangan berkait perkara bangsa dan agama,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, sukar untuk ‘ahli baharu’ itu menjalin kerjasama dengan Gerakan bagi tujuan tersebut, sebaliknya mereka akan bekerja secara silo antara satu sama lain dalam PN.
Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, penyertaan ‘bilangan kecil’ bekas pemimpin mahupun ahli MCA tidak membawa sebarang impak dalam menarik undi masyarakat Cina kepada PN.
Sebaliknya, beliau melihat ia sekadar membantu meningkatkan ‘serba-sedikit’ moral PN bahawa ramai pemimpin Cina sanggup menyertai gabungan itu.
“Itu satu-satu moralnya namun moral ini tidak dapat meningkatkan bilangan undi. Jangan lupa MCA sendiri juga tak mampu menarik undi untuk mereka sendiri, apatah lagi bekas pemimpin MCA yang ‘lompat’.
“Kepada masyarakat Cina itu lagi menakutkan,” katanya.
Isnin lalu, bekas setiausaha agung Pemuda MCA Leong Kim Soon mengumumkan keluar parti untuk menyertai Bersatu.
Sebelum ini, Sin Chew melaporkan Leong yang juga setiausaha politik bekas presiden MCA Liow Tiong Lai diumumkan sebagai anggota sayap bersekutu Bersatu pada majlis berbuka puasa di Bentong, Pahang, petang hari sama.
Dalam majlis itu, beliau dilapor menyerahkan kira-kira 100 permohonan keahlian lain kepada Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.
Hamzah serta-merta melantik Leong sebagai ketua sayap bersekutu Bersatu Bentong dan Pahang, yang dianggotai ahli bukan Bumiputera.
Ketua pembangkang itu yakin penyertaan Leong dalam Bersatu akan meningkatkan peluang parti merampas kerusi Parlimen Bentong pada PRU16.