Gempa bumi: Rakyat Malaysia di Myanmar, Thailand selamat

Gempa bumi: Rakyat Malaysia di Myanmar, Thailand selamat

Rakyat Malaysia yang berada atau dalam perjalanan ke Myanmar dan Thailand dinasihatkan berwaspada.

Gempa bumi
Semua rakyat Malaysia di Myanmar selamat dan tiada yang tercedera di Thailand, susulan gempa bumi melanda Myanmar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Semua rakyat Malaysia di Myanmar dalam keadaan selamat, menurut semakan awal Kedutaan Besar Malaysia selepas gempa bumi melanda negara itu.

Laporan awal juga mengesahkan tiada rakyat Malaysia tercedera di Thailand, yang turut merasai gegaran, kata Kementerian Luar Negeri.

Wisma Putra melaporkan gempa bumi pertama dengan magnitud 7.7 berlaku sekitar jam 1 tengah hari (waktu tempatan), dengan pusat gempa terletak di Wilayah Sagaing, barat laut Myanmar. Gempa kedua dengan magnitud 6.4 berlaku tidak lama selepas itu.

Gegaran susulan daripada kedua-dua gempa ini turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.

“Rakyat Malaysia yang berada atau dalam perjalanan ke Myanmar dan Thailand dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan, dan mengambil semua langkah keselamatan yang perlu,” menurut kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra mengarahkan Bangkok diisytiharkan sebagai kawasan darurat, dan mobilisasi sumber untuk operasi bantuan gempa bumi.

Beliau menyatakan pakar meramalkan akan berlaku gegaran susulan, walaupun dijangka semakin berkurangan.

Wisma Putra berkata Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok yang terletak di Kronos Office Tower ditutup sementara bagi tujuan penilaian keselamatan.

“Buat masa ini, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak menghampiri kawasan premis Kedutaan yang sedia ada,” katanya.

“Sekiranya berlaku kecemasan atau gegaran susulan yang kuat, rakyat Malaysia di Bangkok dinasihatkan untuk berkumpul di Kompleks Kedutaan bersebelahan Sathorn Garden dan bukan di lokasi Kronos Sathorn Tower.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.