‘Apa susah, lekat sahaja lencana Jalur Gemilang’, kata PM

‘Apa susah, lekat sahaja lencana Jalur Gemilang’, kata PM

Kerajaan menguatkuasakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar mulai 21 April depan.

ANWAR IBRAHIM
Anwar Ibrahim berkata banyak negara jiran telah memperkenalkan pemakaian lencana bendera masing-masing pada pakaian seragam sekolah.
SHAH ALAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan penguatkuasaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar mulai 21 April depan, tidak seharusnya menjadi polemik berpanjangan.

Beliau menekankan langkah oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang dipersetujui Kabinet itu sebahagian usaha mendidik sikap kasih sayang terhadap negara sejak dari bangku sekolah.

“Kita beri bendera secara percuma, apa susah…lekat sahaja. Banyak negara jiran telah melaksanakannya sejak sekian lama.

“Ini supaya anak-anak dari awal dah dididik untuk kasih kepada negara, hal ini pun nak jadi polemik panjang,” katanya ditemui media selepas solat Jumaat.

baju sekolah
Kementerian Pendidikan memaparkan cara penggayaan lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah.

Semalam, media melaporkan KPM akan menguatkuasakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar bagi memupuk perpaduan antara murid pelbagai kaum, budaya, dan latar belakang.

Dalam surat pekeliling ikhtisas (SPI), perkara itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 14 Feb dan akan dikuatkuasa bermula 21 April ini.

Pemakaian lencana Jalur Gemilang perlu disemat pada sebelah kanan baju seragam melibatkan pelajar sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi, dan Institusi Pendidikan Guru Malaysia.

Terdahulu, FMT melaporkan kumpulan ibu bapa ragu-ragu keberkesanan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar bagi memupuk perpaduan pelbagai kaum dan budaya.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berkata, usaha itu sia-sia jika jiwa pelajar tidak disemai dengan nilai murni dan hidup majmuk sejak kecil.

Mak juga menjelaskan perpecahan rakyat hari ini bukan berpunca daripada pelajar sebaliknya dicetuskan oleh ahli politik yang terus mempergunakan isu kaum dan agama untuk kepentingan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.