Sambutan ulang tahun TYT Sabah hanya sebulan, kata TKM

Sambutan ulang tahun TYT Sabah hanya sebulan, kata TKM

Timbalan Ketua Menteri Joachim Gunsalam nafi sambutan Yang Dipertua Sabah Musa Aman selama tiga bulan mulai Mac.

Joachim Gunsalam
Joachim Gunsalam berkata hanya tujuh acara dilaksanakan sepanjang tempoh sambutan ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Sabah Musa Aman pada Jun berbanding 12 sebelum ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sambutan ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Sabah Musa Aman hanya diadakan sebulan, semuanya pada Jun membabitkan tujuh acara, kata Timbalan Ketua Menteri Joachim Gunsalam.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa induk sambutan itu menafikan dakwaan konon ia disambut selama tiga bulan sehingga menimbulkan kekeliruan.

Katanya, hanya tujuh acara dilaksanakan sepanjang tempoh itu berbanding 12 tahun lalu manakala perbelanjaan turut dikurangkan 30%.

“Semua tujuh acara adalah majlis lazim dilaksanakan sempena hari ulang tahun kelahiran rasmi TYT sama seperti tahun sebelum ini.

“Saya berharap pencerahan ini jelas dan acara-acara itu tidak disalahertikan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menjelaskan Kabinet Sabah memutuskan program rasmi bagi sambutan ulang tahun tahun itu akan diadakan pada 21 Jun.

Semalam, The Star memetik Joachim sebagai berkata satu siri acara sambutan akan diadakan dari 30 Mac, iaitu cuti umum sempena hari lahir Yang Dipertua Sabah, hingga 21 Jun.

Bagaimanapun, beliau menyatakan empat daripada tujuh acara akan diadakan pada 21 Jun, manakala selebihnya akan berlangsung lebih awal dalam bulan sama.

Gambaran yang sambutan itu berlangsung selama tiga bulan dikritik Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, yang menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan dana awam secara berlebihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.