
Selain Sulaman, DUN lain adalah Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu. Pada PRN 2020, Pantai Dalit dimenangi Barisan Nasional (BN) menerusi Jasnih Daya yang tiga tahun kemudian keluar Umno untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Ketuanya Bung Moktar Radin berkata kedudukan Rahman sebagai ketua Umno Tuaran dan berasal dari Sulaman mungkin melayakkannya mewakili BN di kawasan terbabit.
“Malah penyokong Umno di sana sedia menyokong kerana yakin dengan kemampuannya,” katanya dalam temu bual dengan FMT sambil menegaskan setiap ketua Umno bertanding di kawasan sendiri bukan berhijrah tempat lain.
Untuk rekod, Rahman pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud dari 2008 hingga 2018 sebelum berpindah ke Parlimen Sepanggar pada PRU14, namun beliau kalah kepada calon Warisan Azis Jamman.
Pada PRU15, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu kembali ke Kota Belud tetapi sekali lagi tewas. Kali ini di tangan Isnaraissah Munirah Majilis daripada Warisan dengan majoriti 4,582 undi.
Bung mengulas laporan Daily Express, Selasa lalu memetik kenyataan Rahman yang sedia memberi laluan jika parti memutuskan tidak mencalonkannya pada PRN tahun ini.
Namun, bekas menteri persekutuan itu menjelaskan beliau akan mempertimbangkan jika parti memerlukannya bertanding.
“Saya sebetulnya terperanjat dan terkejut dengan kenyataan timbalan saya ini,” kata Bung yang juga ahli MKT Umno mengulas lanjut kenyataan Rahman.
“Seharusnya perkara seumpama ini (pencalonan pilihan raya) kita bincang dalam mesyuarat.”