Pemandu khayal ganja pandu kontena dengan tayar pecah

Pemandu khayal ganja pandu kontena dengan tayar pecah

Lori itu ditahan JPJ dalam satu operasi di Plaza Tol Juru di Bukit Mertajam malam tadi.

Anggota JPJ memeriksa salah satu tayar lori
Anggota JPJ memeriksa salah satu tayar lori kontena yang pecah ketika ditahan dalam satu operasi di Plaza Tol Juru di Bukit Mertajam malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu lori kontena bukan sahaja berada di bawah pengaruh dadah malah turut memandu kenderaan berat itu dengan sebiji tayar pecah sebelum ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi di Plaza Tol Juru di Bukit Mertajam malam tadi.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata ujian air kencing dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendapati pemandu berusia 45 tahun itu positif dadah jenis ganja, lapor Bernama.

Katanya, pemandu itu juga tidak memberikan sebarang alasan mengapa dia memandu kenderaan itu walaupun salah satu tayarnya rosak serta pecah.

Difahamkan, kenderaan itu dari Taiping, Perak menuju ke Perai untuk mengambil barang dagangan.

Zulkifly berkata lelaki itu mungkin memandu dalam keadaan separuh sedar kerana di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan dia tidak menyedari tayar kenderaan tersebut rosak teruk dan pecah.

“Tindakan lelaki itu yang tetap memandu kontena tersebut walaupun tayar rosak dan pecah sangat berbahaya, bukan sahaja kepada kenderaan tersebut malah pengguna jalan raya yang lain.

“Ia boleh mengakibatkan kegagalan brek dan sebagainya malah lebih teruk menyebabkan kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Menurutnya, pemandu kontena itu ditahan AADK untuk siasatan lanjut manakala lori dipandunya ditahan untuk pemeriksaan oleh JPJ Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.