
Pesuruhjaya Pelancongan Motac dalam kenyataan memaklumkan tempoh penggantungan itu berkuat kuasa mulai 28 Feb sehingga 31 Ogos.
Menurut Motac, sepanjang tempoh itu, syarikat terbabit hendaklah menyelesaikan semua perjalanan yang ditempah atau dibayar dan tidak membuat sebarang urus niaga baharu.
“(Ia) termasuklah tidak membuat pengiklanan jualan pakej dan serta-merta memulangkan semula bayaran serta apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang telah diambil daripada jemaah yang memilih untuk membatalkan tempahan,” katanya.
Pada 30 Jan lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata sebanyak 137 laporan polis dibuat ke atas syarikat itu membabitkan kerugian dianggarkan melebihi RM2.94 juta.
Ramli berkata, daripada jumlah laporan itu pihaknya sudah membuka 13 kertas siasatan.
Pada 14 Jan lalu, FMT melaporkan lebih 300 jemaah sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pada tarikh itu mendakwa ditipu syarikat terbabit kerana gagal menyediakan tiket, hotel, dan visa.
Seorang daripada mangsa, Azieda Azhar, 42, berkata lebih 50 ‘berkampung’ di luar premis syarikat bagi menuntut semula wang.
Susulan itu, polis menahan lapan individu termasuk suami isteri yang juga pemilik agensi pelancongan, bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah.
Sementara itu, Motac berkata pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusaha pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat.