Lelaki OKU tukar pengakuan kes cabul budak di masjid

Lelaki OKU tukar pengakuan kes cabul budak di masjid

Muhamad Adam Haiqal Abdullah tukar pengakuan tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 10 tahun.

Muhamad Adam Haiqal Abdullah
Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, yang tular mencabul kanak-kanak dalam masjid, menukar pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang tular mencabul kanak-kanak dalam masjid di Batang Kali, dekat Hulu Selangor menukar pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini.

Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

“Faham (pertuduhan), tak salah,” katanya, menurut Berita Harian.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk tertuduh dijatuhkan hukuman berikutan pengakuan salahnya terhadap pertuduhan itu, pada 27 Feb lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun lapan bulan di Masjid Sungai Masin, Kampung Sungai Masin, Batang Kali pada 6.20 pagi, 21 Februari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama, yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen, memandangkan tertuduh menukar pengakuannya.

Peguam Lingswaran Singh yang mewakili tertuduh memaklumkan akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan.

Bagaimanapun, Norshila berkata ia hanya boleh dilakukan selepas serahan dokumen pada 29 April ini.

Pada prosiding lalu, pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh memaklumkan tiada waris hadir untuk membuat jaminan.

Dia kemudiannya ditahan dan dihantar ke Pusat Koreksional Puncak Alam.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki OKU masalah pendengaran ditahan susulan kes cabul ketika mangsa menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.